10 April 2026

A Bond Beyond Learning

Assalamualaikum wbk dan salam sejahtera buat semua.

Kisah ini tentang seorang murid bernama Haikal. Pada awalnya, dia hanyalah seorang murid biasa, namun tanpa disedari, perjalanannya bertukar menjadi sebuah kisah yang mampu menyentuh hati dan menitiskan air mata.

Haikal merupakan seorang murid yang punya pelbagai cerita di sekolah. Namun, semua itu tidak begitu melekat di fikiran dan hati aku. Prinsip aku mudah ; selagi seseorang itu tidak punya masalah dengan aku, maka dia juga tidak bersalah di mata aku.

Hubungan aku dengan Haikal mula rapat sekitar pertengahan tahun 2024, ketika aku menjalankan projek integrasi teknologi dalam pembelajaran. Pelajar diminta membentangkan hasil kerja mereka menggunakan slaid masing-masing. Dalam ramai-ramai, Haikal tampil berbeza, hasilnya luar biasa. Tambahan pula, dia memang seorang yang bijak, rajin, dan sangat beradab.

Perjalanan sebenar kami bermula ketika dia melangkah ke Tingkatan 5 sebagai calon SPM. Banyak perkara yang kami lalui bersama. Apa yang membuatkan aku semakin dekat dengannya adalah adabnya terhadap guru dan tutur katanya yang lembut (soft spoken). Haikal datang daripada keluarga sederhana; ibu dan bapanya bekerja sendiri. Dia anak kedua dan merupakan lelaki sulung. Maka tidak hairanlah dia membesar sebagai seorang yang berdikari, kuat bekerja, dan ringan tulang membantu guru dan keluarga.

Melihat potensi yang ada pada dirinya; rajin, bijak, dan berakhlak. Aku mula mendekatkan diri dengannya. Aku ingin membantunya menjadi seorang yang cemerlang. Dalam diam, aku teringat bagaimana Ustaz Zainuddin dahulu membentuk aku. Begitulah juga aku ingin membentuk Haikal. Sejujurnya, aku lakukan apa yang pernah ustaz lakukan kepada aku, iaitu membantu, menjaga, membimbing, dan menyokong sebaik mungkin sehingga Haikal berjaya.

Aku membantu Haikal dengan apa yang aku mampu. Sedikit demi sedikit, aku cuba mengisi ruang kebahagiaan dalam hidupnya. Tanpa sedar, dia menjadi antara insan yang paling rapat dengan aku. Sehinggalah suatu hari, aku membawanya ke majlis Family Day keluarga kami di Karambunai.

Di situlah segalanya berubah. Mama aku dan beberapa ahli keluarga yang lain menitiskan air mata saat melihat Haikal. Kehadirannya seakan mengembalikan bayangan arwah adik kami, Ajib. Cara percakapannya yang lembut, raut wajahnya, semuanya seakan mengingatkan kami kepada arwah. Seperti biasa, mama paling terasa.

Aku menyuarakan kepada mama untuk mengambil Haikal sebagai anak angkat keluarga Ahmad. Mama bersetuju, namun dalam masa yang sama tetap memikirkan perasaan ibu dan bapa Haikal. Sejak itu, aku kerap membawanya pulang ke Papar, memberi ruang kepada keluarga aku melepaskan rindu yang tidak pernah padam. Mungkin ini aturan Allah, Haikal perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Dan jauh di sudut hati, aku rasa seolah-olah arwah Ajib kembali hadir dalam hidup kami.

Dalam masa yang sama, Haikal juga menerima aku dan keluarga dengan hati yang terbuka. Dia tidak pernah mempersoalkan kasih yang diberikan, malah sentiasa mensyukuri setiap ruang yang kami hulurkan kepadanya. Dalam diam, dia menghargai setiap perhatian, setiap kehadiran, dan setiap usaha kecil yang kami lakukan, seolah-olah dia memahami bahawa kasih ini lahir bukan kerana kewajipan, tetapi kerana sayang yang tulus.

Dalam perjuangannya menghadapi SPM, aku cuba membantu seadanya, melengkapkan apa yang perlu, menjadi tempat dia bertanya, dan mendengar setiap kerisauan yang dia simpan. Ada waktu, dia terlalu memikirkan perkara di luar kawalan. Dan pada saat itu, aku hanya mampu menjadi tempat dia berpaut. Bahkan, keresahan itu turut mengganggu ketenangan aku, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah tawakal dan berserah, mendirikan solat hajat dan berdoa agar Allah mengurniakan keputusan yang terbaik buatnya.

Alhamdulillah, Haikal membuktikan segalanya. Dia berjaya memperoleh 7A dalam SPM 2025. Aku mengetahui keputusan itu ketika sedang memandu ke sekolah, dalam perjalanan untuk membuat kejutan kepadanya. Sebelum itu, aku sengaja memberitahu bahawa aku tidak dapat hadir. Sepanjang perjalanan, bibir aku tidak berhenti mengucap syukur. Hati aku penuh rasa bangga dan terharu.

Saat berdiri di atas pentas bergambar bersamanya, aku menahan air mata daripada jatuh. Aku cuba menyembunyikan sebak yang semakin menyesakkan dada. Air mata itu akhirnya gugur juga, bukan kerana aku lemah, tetapi kerana aku terlalu bersyukur melihat usahanya membuahkan hasil.

Kini, satu fasa baru dalam hidup Haikal bermula. Kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk membantunya mengejar cita-citanya menjadi seorang guru. Moga Allah mempermudahkan setiap langkah kami dalam perjalanan ini.

Kerana dalam kisah ini, aku bukan sekadar melihat seorang murid mencapai kejayaan, tetapi aku menemukan seorang adik, yang hadirnya mengisi kekosongan, dan mengajar aku bahawa kasih sayang itu....... kadangkala hadir dari jalan yang tidak pernah kita sangka.

Terima kasih adikku Haikal. 







Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang SPM 2025 SMK Tulid anjuran Unirazak
dirasmikan oleh pembantu menteri YB Tuan Jordan Jude Ellron. (10 April 2026)


Ikhlas dari hati ;
Acid Khoudri
April, 2026 @ Papar







07 December 2023

Scrabble Competition Keningau District Level Year 2023

 

Pertandingan Scrabble yang disertai oleh wakil dari SMK Tulid iaitu Azza Raihana dan Nuradila Binti Jalil telah memenangi tempat ketiga. Pasangan ini telah berlatih hampir setahun dan berlatih dibawah bimbingan jurulatih dalam hanya 3 hari sahaja.

Sedikit rumusan mengenai pertandingan, kalah disebabkan sistem yang kurang jelas dan jika mengikut mata dan kekuatan, pasangan ini sebenarnya layak ke peringkat akhir. Apapun, terima keputusan dengan hati terbuka dan mungkin ada hikmah untuk pertandingan akan datang.

Syabas dan tahniah buat kedua-dua peserta. 

Terima kasih juga buat Andre Onesimus yang sudi menjadi "guru praktikal" dan memberi motivasi kepada peserta. 









11 June 2023

Suatu Kisah Yang Tak Terlupakan

 بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, alhamdulillah thumma alhamdulillah

Sujud syukur, Dia Maha Mengetahui

Tarikh keramat 8 Jun 2023 menentukan semuanya, menjawab persoalan "adakah kisah penat lelah, tawa ria, keluh kesah selama setahun membawa khabar gembira atau duka?".

Kisahnya bermula di kantin seawal pagi, hati penuh debar cuba meneka adakah aku akan menerima khabar gembira atau sebaliknya untuk keputusan SPM 2022 ini. Cikgu Addelley menunjukkan Analisis Keputusan SPM 2022 di telefonnya kepadaku, mataku terus berlari melihat dan mencari subjek Pendidikan Islam. Jantung? Jangan cakaplah, diam aku waktu ini tapi hanya Tuhan saja tahu bagaimana keadaannya hatiku. Apabila melihat tertulis 4.03, aku tarik nafas dalam & cuba senyap, diam seketika. Selepas 10 saat, mulutku tak henti ucap "alhamdulillah ya Allah.... alhamdulillah.... alhamdulillah....". Kemudian Tuan Arudin (PK Kurikulum) pula datang dan duduk di depanku lalu mengucapkan kata tahniah kepadaku dan menyatakan bahawa hampir separuh calon memperoleh kepujian dan cemerlang untuk subjek Pendidikan Islam. Jawabku dengan pantas "Allahuakbar... saya mahu tahu bilangan murid yang dapat A sahaja sekarang ni tuan.." Namun Tuan Arudin menjawab "belum lagi dikeluarkan..". Sejujurnya pada waktu ini hati aku masih belum cukup tenang. 

Selesai saja sarapan di kantin sekolah, aku terus naik ke surau sekolah, sujud syukur atas sejadah hijau iaitu sejadah yang aku selalu guna untuk solat & berdoa mohon agar Allah swt permudahkan urusanku di sekolah. Selang beberapa saat, maka berjuraianlah gugur air mata lelaki aku. Terima kasih Allah. Allah swt menjawab doaku, Allah swt melihat usaha kami, Allah swt mengetahui perjalanan susah & payahku. Selesai di surau, aku segera ke bilik guru dan teriak sekuatnya "Azmannnnnnn... aku mahu tengok analisis keputusan..". Rakan-rakan lain yang ada dalam bilik guru mengucapkan kata tahniah tanpa henti kepadaku. Terima kasih atas ucapan kalian semua.

Perkara pertama yang aku tanya kepada Cikgu Azman, "aku mahu tahu ada calon dapat A+ atau tiada..?". Cikgu Azman pantas menjawab.."Ada sid, satu orang......" Ya Allahhhhhh bertambah lagi debaranku pada saat ini. Berlegar-legar di kepalaku beberapa nama murid yang memang aku sasarkan untuk dapat A+. Ternyata calon yang aku target A+ itulah orangnya, Siti Asnnie. Aku teruskan dengan melihat keputusan semua calon Pendidikan Islam yang lain. Mulutku tak henti ucap alhamdulillah. Hatiku pula tak henti membayangkan wajah-wajah anak didik yang bakal aku temui (ambil keputusan).


KEPUTUSAN SPM 2022

GPMP Pendidikan Islam : 4.03     |     93.33% lulus

peningkatan 1.01 daripada GPMP 2021 iaitu 5.04.

11 orang calon memperoleh gred cemerlang (kombinasi A+, A, A-)


Batch 05 SPM 2022

Aku sejak awal lagi sudah berkali-kali meratib, menyimpan satu impian yang sangat besar, bahawa Batch 05 SPM 2022 ini akan mencipta satu sejarah di bumi Tulid untuk Pendidikan Islam. Aku tidak putus-putus meminta mereka untuk membantu aku merealisasikan impian ini. Setiap kali dalam kelas, aku terkadang pernah terlanjur memarahi beberapa orang murid, aku akui bahawa aku khilaf dalam hal ini. Aku terlalu ikutkan emosi dan perasaan diri untuk capai impian yang terlalu tinggi. Namun dalam masa yang sama aku juga sedar bahawa apa yang aku lakukan ini adalah demi kebaikan mereka, no pain no gain, aku takut keselesaan membawa kepada penyesalan.

Semakin hari semakin dekat kepada peperiksaan, aku semakin berdebar. Setiap hari melihat dan menganalisis jawapan pada lembaran kerja mereka. Mana yang aku sudah berpuas hati, aku akan galakkan untuk terus mengulangkaji. Mana yang aku kurang puas hati, aku akan sebut dengan jelas nama mereka dalam kelas agar mereka tahu merekalah yang aku fokus, lantas mereka akan buat perubahan dan perbaiki diri.  Selain itu, beberapa siri bengkel teknik menjawab dilaksanakan untuk bantu mereka, iaitu sebanyak 4 kali. Alhamdulillah apa yang membuatku berasa gembira ialah apabila melihat prestasi mereka semakin meningkat. Buktinya, mereka mampu menjawab semua soalan secara spontan sewaktu Program Madinatul Ilmi di peringkat Daerah. Pada waktu itu, keyakinan aku bertambah bahawa mereka pasti akan berjaya mencipta sejarah untuk Pendidikan Islam SMK Tulid jika mereka berterusan sebegitu.

Kepada Batch 2005, ucapan terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan atas hadiah yang tak terlupakan ini. Pastinya kisahku bersama kalian, detik-detik suka dan duka, akan menjadi suatu kisah yang tak terlupakan. Apapun keputusan yang kalian raih, itu adalah hasil usaha yang Tuhan telah tentukan buat kalian. Reda dan pasrah, pasti akan ada hikmah atas setiap kejadian. Pesanku "ingat daku dalam doamu" itu sebenarnya penuh makna.

  1. Siti Asnnie Binti Abdullah
  2. Trecy Jay Aznina Binti Abdullah
  3. Saidatul Nabila
  4. Sazila Binti Philip
  5. Nurul Ain Farhanie Binti Narisin
  6. Mohamad Alif Asnif Bin Ramlee
  7. Fatin Nurrasidah Binti Eging
  8. Syakirah Binti Salim
  9. Noorshafika Atira Binti Zainal Abidin
  10. Yasmin Binti Amzath Zunaith Khan
  11. Akmal Hasyaraf Bin Hamzah
  12. Nur Farah Adila Binti Mohamad
  13. Nur Sakinah Binti Benny
  14. Aiman Bin Walter
  15. Norhasniza Binti Abdullah
  16. Siti Nur Rafidah
  17. Nazwa Sherah
  18. Nurauni Balqis Binti Rais
  19. Rynnymarzilla Binti Lawrence
  20. Nurazlina
  21. Hazlee Zayfyqrie
  22. Sitijaimah Binti Mahadi
  23. Azfaizal Bin Kamisin
  24. Fatihatul Jannah Binti Nicholas
  25. Shafarina Nadia Binti Abdullah
  26. Mohd Ikhbal Bin Sainin (Pl)
  27. Nur Nisraina Binti Justine @ Gazali Saloh
  28. Mohd Sabire Bin Molintas
  29. Mohammad Ezlan Bin Suin
  30. Muhammad Hakim Bin Abdurrashyid
  31. Jusinta Binti Marcus





























































Sekian, wasalam.

Acid Khoudri
11.06.2023
Sook, Sabah