11 April 2026

Doa Mengiringi Langkah

Haikal,

Dalam perjalanan menuju kejayaan, akan ada seribu satu kisah yang kau simpan, yang kau pendam dan diamkan dalam diam. Setiap pengorbanan, setiap air mata yang tidak terlihat, dan setiap doa yang kau panjatkan di waktu sunyi, semuanya menjadi saksi betapa kuatnya dirimu dalam mengejar impian.

Hari ini, mungkin kau mula melihat hasil daripada segala usaha dan lelah itu. Namun ingatlah, ini bukanlah penamat kepada perjuanganmu. Ini hanyalah permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih luas dan mencabar. Akan tiba saatnya kau diuji dengan tanggungjawab yang lebih besar, cabaran yang lebih berat, dan langkah yang menuntut keberanian serta kesabaran yang berlipat ganda.

Jangan pernah merasa lelah untuk berusaha. Jangan pernah ragu dengan kemampuan diri. Teruskan melangkah walaupun perlahan, asalkan tidak berhenti. Kerana setiap langkah kecil yang kau ambil hari ini, akan membawa makna besar pada masa hadapan.

Dan ketahuilah kami sentiasa mendoakanmu dari jauh dan dekat. Berdoa agar kau sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan dalam pemeliharaan الله تعالى. Kami berharap agar kau terus berjaya dalam apa jua yang kau lakukan, menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian, tetapi juga tinggi akhlaknya. Jadilah kebanggaan ibu dan ayahmu, yang tidak pernah putus berharap dan berkorban demi melihat kau berdiri teguh di puncak kejayaan.

Semoga setiap kejayaan yang kau kecapi menjadi hadiah terindah buat mereka, dan menjadi bukti bahawa segala pengorbanan mereka tidak pernah sia-sia. Teruskan berusaha, Haikal. Masa depanmu masih panjang, dan perjalananmu masih penuh dengan peluang untuk kau ukir kejayaan yang lebih gemilang.

اللهم وفّق هيكل ونجّحه، وبارك في عمره وجهده

“Ya Allah, permudahkanlah urusan Haikal, berikan kejayaan kepadanya, dan berkatilah umur serta usahanya.”

 آمين يا رب العالمين



No comments:

Post a Comment