Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

10 April 2026

A Bond Beyond Learning

Assalamualaikum wbk dan salam sejahtera buat semua.

Kisah ini tentang seorang murid bernama Haikal. Pada awalnya, dia hanyalah seorang murid biasa, namun tanpa disedari, perjalanannya bertukar menjadi sebuah kisah yang mampu menyentuh hati dan menitiskan air mata.

Haikal merupakan seorang murid yang punya pelbagai cerita di sekolah. Namun, semua itu tidak begitu melekat di fikiran dan hati aku. Prinsip aku mudah ; selagi seseorang itu tidak punya masalah dengan aku, maka dia juga tidak bersalah di mata aku.

Hubungan aku dengan Haikal mula rapat sekitar pertengahan tahun 2024, ketika aku menjalankan projek integrasi teknologi dalam pembelajaran. Pelajar diminta membentangkan hasil kerja mereka menggunakan slaid masing-masing. Dalam ramai-ramai, Haikal tampil berbeza, hasilnya luar biasa. Tambahan pula, dia memang seorang yang bijak, rajin, dan sangat beradab.

Perjalanan sebenar kami bermula ketika dia melangkah ke Tingkatan 5 sebagai calon SPM. Banyak perkara yang kami lalui bersama. Apa yang membuatkan aku semakin dekat dengannya adalah adabnya terhadap guru dan tutur katanya yang lembut (soft spoken). Haikal datang daripada keluarga sederhana; ibu dan bapanya bekerja sendiri. Dia anak kedua dan merupakan lelaki sulung. Maka tidak hairanlah dia membesar sebagai seorang yang berdikari, kuat bekerja, dan ringan tulang membantu guru dan keluarga.

Melihat potensi yang ada pada dirinya; rajin, bijak, dan berakhlak. Aku mula mendekatkan diri dengannya. Aku ingin membantunya menjadi seorang yang cemerlang. Dalam diam, aku teringat bagaimana Ustaz Zainuddin dahulu membentuk aku. Begitulah juga aku ingin membentuk Haikal. Sejujurnya, aku lakukan apa yang pernah ustaz lakukan kepada aku, iaitu membantu, menjaga, membimbing, dan menyokong sebaik mungkin sehingga Haikal berjaya.

Aku membantu Haikal dengan apa yang aku mampu. Sedikit demi sedikit, aku cuba mengisi ruang kebahagiaan dalam hidupnya. Tanpa sedar, dia menjadi antara insan yang paling rapat dengan aku. Sehinggalah suatu hari, aku membawanya ke majlis Family Day keluarga kami di Karambunai.

Di situlah segalanya berubah. Mama aku dan beberapa ahli keluarga yang lain menitiskan air mata saat melihat Haikal. Kehadirannya seakan mengembalikan bayangan arwah adik kami, Ajib. Cara percakapannya yang lembut, raut wajahnya, semuanya seakan mengingatkan kami kepada arwah. Seperti biasa, mama paling terasa.

Aku menyuarakan kepada mama untuk mengambil Haikal sebagai anak angkat keluarga Ahmad. Mama bersetuju, namun dalam masa yang sama tetap memikirkan perasaan ibu dan bapa Haikal. Sejak itu, aku kerap membawanya pulang ke Papar, memberi ruang kepada keluarga aku melepaskan rindu yang tidak pernah padam. Mungkin ini aturan Allah, Haikal perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Dan jauh di sudut hati, aku rasa seolah-olah arwah Ajib kembali hadir dalam hidup kami.

Dalam masa yang sama, Haikal juga menerima aku dan keluarga dengan hati yang terbuka. Dia tidak pernah mempersoalkan kasih yang diberikan, malah sentiasa mensyukuri setiap ruang yang kami hulurkan kepadanya. Dalam diam, dia menghargai setiap perhatian, setiap kehadiran, dan setiap usaha kecil yang kami lakukan, seolah-olah dia memahami bahawa kasih ini lahir bukan kerana kewajipan, tetapi kerana sayang yang tulus.

Dalam perjuangannya menghadapi SPM, aku cuba membantu seadanya, melengkapkan apa yang perlu, menjadi tempat dia bertanya, dan mendengar setiap kerisauan yang dia simpan. Ada waktu, dia terlalu memikirkan perkara di luar kawalan. Dan pada saat itu, aku hanya mampu menjadi tempat dia berpaut. Bahkan, keresahan itu turut mengganggu ketenangan aku, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah tawakal dan berserah, mendirikan solat hajat dan berdoa agar Allah mengurniakan keputusan yang terbaik buatnya.

Alhamdulillah, Haikal membuktikan segalanya. Dia berjaya memperoleh 7A dalam SPM 2025. Aku mengetahui keputusan itu ketika sedang memandu ke sekolah, dalam perjalanan untuk membuat kejutan kepadanya. Sebelum itu, aku sengaja memberitahu bahawa aku tidak dapat hadir. Sepanjang perjalanan, bibir aku tidak berhenti mengucap syukur. Hati aku penuh rasa bangga dan terharu.

Saat berdiri di atas pentas bergambar bersamanya, aku menahan air mata daripada jatuh. Aku cuba menyembunyikan sebak yang semakin menyesakkan dada. Air mata itu akhirnya gugur juga, bukan kerana aku lemah, tetapi kerana aku terlalu bersyukur melihat usahanya membuahkan hasil.

Kini, satu fasa baru dalam hidup Haikal bermula. Kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk membantunya mengejar cita-citanya menjadi seorang guru. Moga Allah mempermudahkan setiap langkah kami dalam perjalanan ini.

Kerana dalam kisah ini, aku bukan sekadar melihat seorang murid mencapai kejayaan, tetapi aku menemukan seorang adik, yang hadirnya mengisi kekosongan, dan mengajar aku bahawa kasih sayang itu....... kadangkala hadir dari jalan yang tidak pernah kita sangka.

Terima kasih adikku Haikal. 







Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang SPM 2025 SMK Tulid anjuran Unirazak
dirasmikan oleh pembantu menteri YB Tuan Jordan Jude Ellron. (10 April 2026)


Ikhlas dari hati ;
Acid Khoudri
April, 2026 @ Papar







17 December 2018

Jika Ada Salah


Jika ada salah,
akui kesalahan dan mohon maaf
maafkan diri dan teruskan melangkah
meskipun selepas itu
peritnya umpama memijak duri
dengan kaki tidak bersepatu..

Manusia akan menghukum
bahawa satu salahmu itu
akan meranapkan sejuta kebenaran
akan menghancurkan beribu kebaikan
yang kau lakukan.

Bertahanlah selagi mampu
bersabarlah jika perlu
kau tidak usah membuktikan 
bahawa kau akan betulkan
biar waktu menelan
semua kepahitan.

Maka,
jika ada salah
teruskan melangkah
pekakkan telinga
dan
perbaiki kesalahan.

Acid Khoudri
Papar | Sabah
17 Disember 2018

22 November 2014

Semangat Kena Kuat

Semangat Kena Kuat
oleh:
Acid Khoudri


Ujian Allah untuk kita tidak akan pernah putus,
pelbagai bentuk ujian Dia akan utus,
ada yang buruk ada yang bagus.

Langkah kaki harus kuat,
kita mahu jadi hebat,
kita mahu jadi bermanfaat,
maka kuatkanlah semangat.

Walau tajam onak duri,
walau berat ujian diberi,
tetap dengan pendirian diri,
bermanfaat untuk duniawi,
matlamatnya ukhrawi.

Semangat kena kuat,
kita mahu jadi bermanfaat,
jangan lupa Allah walau sesaat,
inshaallah tidak tersesat.

Teruskan melangkah,
jangan mengalah,
walaupun rebah,
ingatkan diri untuk jadi gagah.



Isi hati;

Acid Khoudri
Tambunan
09:50 AM | Taman Syurga SMAI Tambunan

01 September 2014

Jika salah, maafkan..

Lumrah insan tidak lari dari kesilapan,
fitrah manusia tidak lekang dari kesalahan,
hakikat manusia selalu memaafkan,
itulah namanya kehidupan..

Andai diri ini pernah menyakiti,
andai diri ini selalu melukai,
andai diri ini tidak disukai,
diri ini mohon maaf agar hidup dirahmati,
oleh Allah Rabbul Izzati..

Tiada apa yang indah selain kemaafan.,
tiada apa yang siksa selain tidak dimaafkan.

Maafkan. 
Lupakan. 
Teruskan berjalan.

Nukilan hati:
Acid Khoudri
Tambunan, Sabah

06 May 2012

Oh Dunia..

Oh dunia..
Kukejar dunia yang tiada akhir
Kupenuhi nafsu yang tiada kering
Kuturuti hati yang tiada bersih.

Oh dunia..
kau diami hatiku
kau tawan segalanya.

Oh dunia..
kemana lagi hendak kupergi 
andai setiap langkahku sudah kau kuasai
kemana lagi hendak kucari
andai setiap noda dosa sudah kurasai.

Oh dunia..
dimana akhirmu
dimana hujungmu
bila keringmu
bila tandusmu
hanya IMAN yang tahu.


kalam hati:
Acid Khoudri
Nilai (06/05/2012)