Kisah ini tentang seorang murid
bernama Haikal. Pada awalnya, dia hanyalah seorang murid biasa, namun tanpa
disedari, perjalanannya bertukar menjadi sebuah kisah yang mampu menyentuh hati
dan menitiskan air mata.
Haikal merupakan seorang murid
yang punya pelbagai cerita di sekolah. Namun, semua itu tidak begitu melekat di
fikiran dan hati aku. Prinsip aku mudah ; selagi seseorang itu tidak punya
masalah dengan aku, maka dia juga tidak bersalah di mata aku.
Hubungan aku dengan Haikal mula
rapat sekitar pertengahan tahun 2024, ketika aku menjalankan projek integrasi
teknologi dalam pembelajaran. Pelajar diminta membentangkan hasil kerja mereka
menggunakan slaid masing-masing. Dalam ramai-ramai, Haikal tampil berbeza, hasilnya
luar biasa. Tambahan pula, dia memang seorang yang bijak, rajin, dan sangat
beradab.
Perjalanan sebenar kami bermula
ketika dia melangkah ke Tingkatan 5 sebagai calon SPM. Banyak perkara yang kami
lalui bersama. Apa yang membuatkan aku semakin dekat dengannya adalah adabnya
terhadap guru dan tutur katanya yang lembut (soft spoken). Haikal datang
daripada keluarga sederhana; ibu dan bapanya bekerja sendiri. Dia anak kedua
dan merupakan lelaki sulung. Maka tidak hairanlah dia membesar sebagai seorang yang
berdikari, kuat bekerja, dan ringan tulang membantu guru dan keluarga.
Melihat potensi yang ada pada
dirinya; rajin, bijak, dan berakhlak. Aku mula mendekatkan diri dengannya. Aku
ingin membantunya menjadi seorang yang cemerlang. Dalam diam, aku teringat
bagaimana Ustaz Zainuddin dahulu membentuk aku. Begitulah juga aku ingin
membentuk Haikal. Sejujurnya, aku lakukan apa yang pernah ustaz lakukan kepada
aku, iaitu membantu, menjaga, membimbing, dan menyokong sebaik mungkin sehingga
Haikal berjaya.
Aku membantu Haikal dengan apa
yang aku mampu. Sedikit demi sedikit, aku cuba mengisi ruang kebahagiaan dalam
hidupnya. Tanpa sedar, dia menjadi antara insan yang paling rapat dengan aku.
Sehinggalah suatu hari, aku membawanya ke majlis Family Day keluarga kami di
Karambunai.
Di situlah segalanya berubah. Mama
aku dan beberapa ahli keluarga yang lain menitiskan air mata saat melihat
Haikal. Kehadirannya seakan mengembalikan bayangan arwah adik kami, Ajib. Cara
percakapannya yang lembut, raut wajahnya, semuanya seakan mengingatkan kami
kepada arwah. Seperti biasa, mama paling terasa.
Aku menyuarakan kepada mama untuk
mengambil Haikal sebagai anak angkat keluarga Ahmad. Mama bersetuju, namun
dalam masa yang sama tetap memikirkan perasaan ibu dan bapa Haikal. Sejak itu,
aku kerap membawanya pulang ke Papar, memberi ruang kepada keluarga aku
melepaskan rindu yang tidak pernah padam. Mungkin ini aturan Allah, Haikal
perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Dan jauh di sudut
hati, aku rasa seolah-olah arwah Ajib kembali hadir dalam hidup kami.
Dalam masa yang sama, Haikal juga
menerima aku dan keluarga dengan hati yang terbuka. Dia tidak pernah
mempersoalkan kasih yang diberikan, malah sentiasa mensyukuri setiap ruang yang
kami hulurkan kepadanya. Dalam diam, dia menghargai setiap perhatian, setiap
kehadiran, dan setiap usaha kecil yang kami lakukan, seolah-olah dia memahami
bahawa kasih ini lahir bukan kerana kewajipan, tetapi kerana sayang yang tulus.
Dalam perjuangannya menghadapi
SPM, aku cuba membantu seadanya, melengkapkan apa yang perlu, menjadi tempat
dia bertanya, dan mendengar setiap kerisauan yang dia simpan. Ada waktu, dia
terlalu memikirkan perkara di luar kawalan. Dan pada saat itu, aku hanya mampu
menjadi tempat dia berpaut. Bahkan, keresahan itu turut mengganggu ketenangan
aku, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah tawakal
dan berserah, mendirikan solat hajat dan berdoa agar Allah mengurniakan
keputusan yang terbaik buatnya.
Alhamdulillah, Haikal membuktikan
segalanya. Dia berjaya memperoleh 7A dalam SPM 2025. Aku mengetahui keputusan itu
ketika sedang memandu ke sekolah, dalam perjalanan untuk membuat kejutan
kepadanya. Sebelum itu, aku sengaja memberitahu bahawa aku tidak dapat hadir.
Sepanjang perjalanan, bibir aku tidak berhenti mengucap syukur. Hati aku penuh
rasa bangga dan terharu.
Saat berdiri di atas pentas
bergambar bersamanya, aku menahan air mata daripada jatuh. Aku cuba
menyembunyikan sebak yang semakin menyesakkan dada. Air mata itu akhirnya gugur
juga, bukan kerana aku lemah, tetapi kerana aku terlalu bersyukur melihat usahanya
membuahkan hasil.
Kini, satu fasa baru dalam hidup
Haikal bermula. Kami akan terus berusaha sebaik mungkin untuk membantunya
mengejar cita-citanya menjadi seorang guru. Moga Allah mempermudahkan setiap
langkah kami dalam perjalanan ini.
Kerana dalam kisah ini, aku bukan
sekadar melihat seorang murid mencapai kejayaan, tetapi aku menemukan seorang
adik, yang hadirnya mengisi kekosongan, dan mengajar aku bahawa kasih sayang
itu....... kadangkala hadir dari jalan yang tidak pernah kita sangka.
Terima kasih adikku Haikal.
 |
Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang SPM 2025 SMK Tulid anjuran Unirazak dirasmikan oleh pembantu menteri YB Tuan Jordan Jude Ellron. (10 April 2026) |
Ikhlas dari hati ;