08 November 2017

في حب الله

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Bila diimbas kembali pertama kali aku menjejaki sekolah ini, sebelum mengenali kamu dengan lebih dekat dan rapat, kamu sewenang-wenangnya menganggapku garang dan temberang. Seperti kebiasaan yang aku lakukan, pandangan pertama itu haruslah sesuatu yang menakutkan. Maka aku berjaya lakukannya pada kamu. Setelah beberapa hari menempuhi duri yang aku taburkan, kamu akhirnya menemui siapa aku sebenarnya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Bila sudah kenal, aku senyum lalu bermonolog, adakah kamu sekarang cinta kepada aku ? Aku hanya mampu duduk termenung dan senyum sinis memikirkan hal ini seorang diri.

Hampir tiga tahun bersama, bermula pada awal tahun 2015 sehinggalah ogos 2017, banyak perkara dilalui bersama. Banyak luahan diterima, banyak juga nasihat diberi. Ibaratnya menjadi ayah kepada kamu semua. Selalu diingatkan, aku bukan selalu ada untuk memimpin jalan kepada kamu semua. Makanya aku suka mengajar bukan menyuap kamu, agar kamu mengerti makna mencari daripada memiliki dengan mudah. Ada waktunya aku lebih suka melihat kamu dari jauh, cuba untuk menilai sejauh mana kalian mampu berdiri seorang diri.

Kini saatnya perjalanan kamu di sekolah ini tiba di hujung garisan. Setakat apa yang dilalui, besar mana bekalan yang bakal kamu bawa di saat melangkah keluar dari sekolah ini. Bagi aku, ini adalah satu pengakhiran yang menandakan satu permulaan hidup yang baru, kamu akan TERBANG. Terbang setinggi yang kamu inginkan, bebas dari sangkar yang selama ini kamu diami. Jauh mana pun kamu akan pergi, berpautlah pada dahan yang selama ini kamu pijaki.

Setiap apa yang hitam, biarlah selepas ini menjadi putih. Setiap apa yang selalu melemahkan, biarlah menjadi sesuatu yang menguatkan. Setiap apa yang patah, biarlah ia tumbuh dan segar kembali. Segala dendam dan rasa sakit hati, biarlah dibuang dan tertinggal sepi dan dilupakan.

Ingatlah bahawa ilmu yang kamu peroleh akan selalu menjadi penjaga dan pendinding diri, untuk menilai hitam dan putih dalam setiap langkah kehidupan. Tiada apa yang perlu dibanggakan melainkan nilai sebuah pengorbanan dan persahabatan yang selama ini kamu pertahankan.

Secara peribadinya, aku minta maaf atas segala kesalahan dan kesilapan. Aku sedar bahawa aku selalu memarahi, mencaci dan menyumpah kamu. Kadang gayaku terlebih, kadang mulutku menyakitkan, kadang pandanganku menjengkelkan. Namun di hati ini, tiada satu pun dendam yang bersemi. Fi hubbillah, kamu adalah anak-anakku yang aku sayangi.

Kepada Batch SMU 2015, SPM 2016 dan STAM 2017 :

Kamu adalah bahagian dalam buku amalanku yang akan aku persembahkan kepada Tuhan Yang Satu. 

Terima kasih atas kebersamaan kamu bersama aku dalam mencari makna kehidupan. 

Kamu adalah kebanggaanku, kamu adalah himpunan cerita yang aku akan selalu sampaikan kepada anak-anakku yang lain.