بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Bila diimbas kembali pertama kali aku menjejaki sekolah ini,
sebelum mengenali kamu dengan lebih dekat dan rapat, kamu sewenang-wenangnya
menganggapku garang dan temberang. Seperti kebiasaan yang aku lakukan,
pandangan pertama itu haruslah sesuatu yang menakutkan. Maka aku berjaya
lakukannya pada kamu. Setelah beberapa hari menempuhi duri yang aku taburkan, kamu
akhirnya menemui siapa aku sebenarnya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak
cinta. Bila sudah kenal, aku senyum lalu bermonolog, adakah kamu sekarang cinta
kepada aku ? Aku hanya mampu duduk termenung dan senyum sinis memikirkan hal
ini seorang diri.
Hampir tiga tahun bersama, bermula pada awal tahun 2015
sehinggalah ogos 2017, banyak perkara dilalui bersama. Banyak luahan diterima,
banyak juga nasihat diberi. Ibaratnya menjadi ayah kepada kamu semua. Selalu
diingatkan, aku bukan selalu ada untuk memimpin jalan kepada kamu semua. Makanya
aku suka mengajar bukan menyuap kamu, agar kamu mengerti makna mencari daripada
memiliki dengan mudah. Ada waktunya aku lebih suka melihat kamu dari jauh, cuba
untuk menilai sejauh mana kalian mampu berdiri seorang diri.
Kini saatnya perjalanan kamu di sekolah ini tiba di hujung
garisan. Setakat apa yang dilalui, besar mana bekalan yang bakal kamu bawa di
saat melangkah keluar dari sekolah ini. Bagi aku, ini adalah satu pengakhiran
yang menandakan satu permulaan hidup yang baru, kamu akan TERBANG. Terbang setinggi
yang kamu inginkan, bebas dari sangkar yang selama ini kamu diami. Jauh mana
pun kamu akan pergi, berpautlah pada dahan yang selama ini kamu pijaki.
Setiap apa yang hitam, biarlah selepas ini menjadi putih. Setiap
apa yang selalu melemahkan, biarlah menjadi sesuatu yang menguatkan. Setiap apa
yang patah, biarlah ia tumbuh dan segar kembali. Segala dendam dan rasa sakit
hati, biarlah dibuang dan tertinggal sepi dan dilupakan.
Ingatlah bahawa ilmu yang kamu peroleh akan selalu menjadi
penjaga dan pendinding diri, untuk menilai hitam dan putih dalam setiap langkah
kehidupan. Tiada apa yang perlu dibanggakan melainkan nilai sebuah pengorbanan
dan persahabatan yang selama ini kamu pertahankan.
Secara peribadinya, aku minta maaf atas segala kesalahan dan
kesilapan. Aku sedar bahawa aku selalu memarahi, mencaci dan menyumpah kamu. Kadang
gayaku terlebih, kadang mulutku menyakitkan, kadang pandanganku menjengkelkan. Namun
di hati ini, tiada satu pun dendam yang bersemi. Fi hubbillah, kamu adalah
anak-anakku yang aku sayangi.
Kepada Batch SMU 2015, SPM 2016 dan STAM 2017 :
Kamu adalah
bahagian dalam buku amalanku yang akan aku persembahkan kepada Tuhan Yang Satu.
Terima kasih atas kebersamaan kamu bersama aku dalam mencari makna kehidupan.
Kamu
adalah kebanggaanku, kamu adalah himpunan cerita yang aku akan selalu sampaikan
kepada anak-anakku yang lain.
No comments:
Post a Comment