Pendahuluan
Sistem pendidikan di Malaysia melalui Falsafah Pendidikan
Kebangsaan berusaha melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Lantas menerusi Pelan Pembangunan
Pendidikan Negara, satu transformasi kurikulum dijana bagi memberi ruang kepada
perkembangan diri murid secara fizikal, estetika dan kognitif. Pelaksanaan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah dilihat mampu membantu dalam memahami
perkembangan murid dalam menguasai sesuatu bidang ilmu. Perubahan kurikulum
kebangsaan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah pula dilihat
mampu memberi banyak ruang dan peluang kepada perkembangan murid dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Justeru menjadi tanggungjawab semua guru dalam dunia pendidikan
untuk mengetahui peringkat perkembangan murid berdasarkan beberapa teori
perkembangan seperti Teori Piaget, Teori Kohlberg dan Teori Erikson. Topik
perkembangan murid ini penting untuk dikupas kerana ianya mampu memberi
kefahaman kepada guru tentang pertumbuhan dan perkembangan murid serta proses
pembelajaran mereka supaya guru menjadi lebih prihatin kepada murid yang sedang
melalui proses pertumbuhan dan perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan
sosial. Selain itu, perbincangan ini juga mampu membantu guru untuk memahami
diri, memperbaiki dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang sepatutnya.
Teori Perkembangan
Peringkat perkembangan kanak-kanak hingga remaja boleh ditinjau
menerusi beberapa teori perkembangan. Pertamanya, Teori Perkembangan Kognitif
Piaget. Menurut Piaget, proses pemikiran manusia berubah secara menyeluruh
bermula selepas lahir sehingga manusia mencapai tahap kematangan. Empat konsep
utama teori Piaget ialah skema, asimilasi, akomodasi dan keseimbangan. Skema merupakan
pengetahuan atau pengalaman yang dipelajari oleh individu melalui pengalaman
dan pembelajaran. Seterusnya, seseorang akan mengalami proses asimilasi dan
akomodasi. Asimilasi merupakan proses di mana individu akan cuba memahami
pengalaman baru dan cuba menyesuaikannya dengan skema lama. Akomodasi pula
proses di mana individu menukar skema lama untuk disesuaikan dengan pengalaman
baru. Proses keseimbangan ini berlaku secara berterusan di dalam kehidupan
seseorang kerana perkembangan kognitif akan sentiasa berlaku. Terdapat empat
peringkat perkembangan merangkumi peringkat deria motor (0-2 tahun), peringkat
praoperasi (2-7 tahun), peringkat operasi konkrit (7-12 tahun) dan peringkat
operasi formal (selepas 12 tahun).
Kedua, Teori Perkembangan Moral Kohlberg. Teori ini membahagikan perkembangan moral kepada
tiga tahap iaitu tahap pra-konvensional, tahap konvensional, dan tahap
pos-konvensional. Seorang anak harus melalui enam peringkat dalam dirinya
iaitu:
Tahap 1 : Moral Prakonvensional: Awal Kanak-kanak
|
|
Peringkat 1
|
Orientasi Kepatuhan dan Hukuman
|
Peringkat 2
|
Orientasi Ganjaran Peribadi
|
Tahap 2 : Moral Konvensional: Masa Kanak-kanak
|
|
Peringkat 1
|
Orientasi perlakuan baik
|
Peringkat 2
|
Akur kepada sistem sosial dan etika
peraturan
|
Tahap 3 : Moral Pos-konvensional: Masa Remaja
|
|
Peringkat 1
|
Etika kontrak sosial dan hak individu
|
Peringkat 2
|
Etika prinsip sejagat
|
Ketiga, Teori Perkembangan
Sosioemosi Erikson. Teori ini menekankan kepentingan hubungan sosial dengan
individu di persekitaran seseorang. Menurut Erikson, personaliti individu dibentuk
hasil daripada perkembangan ini.
Peringkat
|
Umur
|
Huraian
|
Asas kepercayaan lawan asas ketidakpercayaan
|
Dari lahir hingga 2 tahun
|
Bayi perlu mempunyai hubungan yang erat, mendapat kasih
sayang dan kepercayaan.
|
Autonomi lawan keraguan
|
2 tahun hingga 6 tahun
|
Kejayaan menggunakan fizikal menimbulkan rasa percaya
kepada keupayaan diri dan jika gagal mereka mula ragu terhadap keupayaan
diri.
|
Inisiatif lawan rasa bersalah
|
6 tahun hingga 12 tahun
|
Cuba untuk berdikari, ada inisiatif untuk melakukan
sesuatu sendiri, jika gagal boleh membawa rasa bersalah.
|
Industri lawan rasa rendah diri
|
12 tahun hingga 17 tahun
|
Menguasai kemahiran tertentu, kegagalan akan membawa
rasa rendah diri dan tiada keupayaan.
|
Identiti lawan kekeliruan identiti
|
12 tahun hingga 18 tahun
|
Mencari identiti diri dalam kerja, kemahiran, jantina
dan sosial.
|
Perbezaan Individu dan implikasinya terhadap PdP
Setiap peringkat perkembangan akan membawa kepada individu yang
berbeza. Perbezaan individu merujuk kepada keunikan dan ketidaksamaan yang
wujud antara individu yang berlainan sama ada dari segi sifat kognitif, emosi,
fizikal, moral, tingkah laku sosial, bakat dan aspek lain. Antara perbezaan
yang mungkin berlaku pada murid ialah perbezaan kognitif, perbezaan budaya, perbezaan
fizikal, perbezaan emosi dan perbezaan rohani.
Terdapat beberapa implikasi perbezaan individu ini terhadap
pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pertama, gaya berfikir murid berbeza. Ini
termasuklah gaya kognitif dan gaya murid belajar. Oleh itu, guru perlu mengkaji
dan meneliti perlakuan setiap murid dalam kelas sebelum PdP bermula. Kedua, objektif
pembelajaran mengikut kemampuan murid. Objektif pembelajaran perlu mengikut
aras iaitu aras pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis dan sintesis. Aras kesukaran
pada objek atau penilaian perlu berubah mengikut prestasi murid. Ketiga,
kesediaan untuk belajar. Setiap murid di dalam kelas berada dalam keadaan yang
berbeza sebelum PdP bermula. Justeru, guru perlu bijak memilih kaedah dan
teknik pengajaran dengan mempertimbangkan kesediaan emosi, kognitif dan
psikomotor murid. Keempat, gangguan pada sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid
yang bermasalah akan mengganggu pembelajaran seperti mengganggu rakan dan membuat
bising. Maka, guru harus menyediakan aktiviti sampingan kepada mereka. Kelima,
keadaan hidup dan latar belakang sesebuah keluarga memberi kesan kepada kemajuan
murid. Hal ini kerana kemudahan dan pendedahan yang terhad. Ini termasuklah sikap
keluarga dan pengaruh sosiobudaya masyarakat di luar bandar. Keenam, kebolehan
fizikal yang berbeza untuk melaksanakan kegiatan yang melibatkan psikomotor. Ini
terbukti melalui kecergasan dan kemahiran murid dalam kegiatan atau permainan
yang disertai. Ketujuh ialah perbezaan sosial. Murid ekstrovert aktif dalam
aktiviti pembelajaran dan rajin memberikan soalan. Ini akan membentuk konsep
yang lebih jelas dan menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Sebaliknya, murid
introvert seperti pasif dalam aktiviti, gemar menyendiri, berasa malu dan takut
untuk mengemukakan soalan. Hal ini menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam
pelajaran.
Kesimpulan
Kejayaan guru dalam memahami peringkat perkembangan murid dan
perbezaan individu akan melahirkan modal insan yang unik dan PdP menjadi
efektif. Ini sekaligus meningkatkan komunikasi murid, memperkembangkan
pemikiran dan penaakulan mereka serta memberi peluang untuk memahami alam
sosial dan fizikal dengan baik. Tegasnya, teori perkembangan kognitif,
penaakulan moral dan sosioemosi serta konsep perbezaan individu adalah mustahak
kepada semua guru kerana ianya memberikan implikasi besar terhadap kejayaan PdP
dan pendidikan murid.
RUJUKAN
Pelbagai rujukan dibuat. :)