Berjalanlah meskipun melangkah itu payah..

Bismillah Ar-Rahmaan Ar-Raheem. Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Salam sejahtera, salam kedamaian serta salam mujahadah sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.

Benar, hidup adalah satu lakonan. 
Dunia ini adalah pentasnya 
dan kita makhluk sebagai para pelakon ceritanya. 
Cerita yang ada masanya akan gembira, 
mungkin sedih atau menangis tanpa henti. 
Merintih kerana tertindih 
meski langit dan bumi itu terlalu luas.

Hari ini Allah beri kita satu peluang untuk hidup. Bangun pagi, hirup udara segar dan berjalan ! Ya, berjalan maju ke hadapan. Allah Akbar, Allah beri kita peluang untuk melangkah untuk mencari sesuatu, baik atau buruk, buat diri kita yang akan merasainya.



Allah telah bentangkan jalan di depan mata kita. Terserah atas kita untuk memilih mana satu jalan yang akan kita tempuhi. Atau mungkin Allah beri hanya satu jalan untuk kita lalui. Mungkin juga tidak ada jalan buat kita pada saat ini. Namun, semuanya terletak pada diri kita untuk melangkah dan berjalan.

Berdaya maka kita akan melangkah, berjalan atau berlari. Tiada daya maka kita akan merangkak perlahan-lahan. Apapun caranya, pastikan kita melangkah MAJU ke hadapan.

Menjadi baik daripada diri kita semalam. Mendapatkan sesuatu yang Allah SWT redhai dengan cara yang baik dan usaha kita sendiri. Usahakan walaupun jalannya terasa payah. Sebab itu Allah perlihatkan kita kejadian manusia iaitu kita sendiri. Sebelum pandai berjalan kena merangkak terlebih dahulu. Jatuh bangun sudah perkara biasa.

Apa yang penting, pergantungan kita kepada Allah. Kita kembalikan sesuatu kepada Allah. Kita kerjakan sesuatu kerana Allah. Allah SWT telah ciptakan kita, Al-Khaliq. Allah Tahu apa yang kita perlukan di atas pentas dunia ini.



Meskipun jalan ini penuh dengan kepayahan, kita menangis dan merintih, selalu lah ingat Tuhan Sang Pencipta. Al-Khaliq yang Maha Mengetahui, Maha Mendengar meskipun terlintas di hati. 

Berjalanlah. Walaupun memulakan langkah itu payah. Meskipun melangkah itu terasa susah. Allah SWT ada di setiap langkah dan hembusan nafas kita.


Wallahu A'lam.

Acid Khoudri
Papar | 7:27 PM

Comments

Popular posts from this blog

في حب الله

SEPULUH APRESIASI buat SMAIP Tetap Di Hati