PENGENALAN
Keberkesanan penyampaian ilmu
pengetahuan kepada murid bergantung kepada kaedah dan strategi pengajaran yang
diaplikasikan oleh guru. Guru perlu kreatif dalam memilih strategi pengajaran
agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) mencapai objektifnya. Guru juga perlu
melengkapkan pengetahuan dirinya dengan ilmu dan teori pedagogi sebelum
memulakan PdP. Ini adalah untuk memastikan guru bersedia dan berupaya merancang
serta menentukan kaedah, teknik, pendekatan dan strategi yang efektif dan
bersesuaian dengan keadaan murid.
Konsep Pedagogi
Kajian
menunjukkan bahawa pedagogi berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud kaedah
mengajar kanak-kanak. Namun konteks pedagogi ini dikembangkan meliputi
pengajaran di semua peringkat sekolah termasuklah peringkat universiti.
Shafritz (1997) mendeifiniskan pedagogi sebagai prinsip dan kaedah pengajaran.
Pedagogi juga ditakrifkan sebagai kemahiran mengajar yang digunakan oleh guru
untuk menyampaikan pengetahuan yang khusus dalam sesuatu bidang.
Manakala
bagi Ee Ah Meng (1989) menyatakan bahawa pedagogi atau pengajaran sebagai satu
sains iaitu sistem aktiviti-aktiviti yang ditujukan kepada murid-murid dengan
bertujuan membawa perubahan tingkah laku dikalangan mereka. Sharifah
Alwiah (1983) menganggap pengajaran sebagai aktiviti atau proses kerana apabila
mengajar, aktiviti seperti menyoal, menerangkan, mendengar, menggalakkan
sesuatu, dan berbagai-bagai aktiviti lain akan berlaku. Sharifah Alwiah juga
menganggap pengajaran sebagai suatu proses komunikasi walaupun tidak semua
aktiviti pengajaran merupakan komunikasi antara guru dengan pelajar.
Strategi Pengajaran
Dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, kaedah dan strategi pengajaran bergantung kepada
daya kreativiti guru dan kesesuaian kehendak murid untuk mencapai objektif PdP.
Ini kerana kepelbagaian tahap penerimaan murid terhadap bahan yang diberikan. Justeru,
strategi PdP boleh diklasifikasikan kepada tiga unsur utama iaitu strategi
pemusatan guru, murid, dan bahan.
Strategi pemusatan guru merupakan strategi PdP yang
telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Di bawah strategi PdP ini, guru
memainkan peranan yang utama. Guru akan menguasai dan mengawal segala aktiviti
pelajaran iaitu guru banyak memberi penerangan dan pelajar hanya mendengar.
Dalam aktiviti PdP, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid
berperanan sebagai penonton sahaja.
Di
bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan penting dalam
proses pembelajaran. Murid akan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti
pembelajaran. Guru merupakan pemudahcara kepada murid dalam menjalankan
aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Antara kaedah
di bawah strategi berpusatkan murid ini alah kumpulan, lawatan, simulasi, main
peranan dan sebagainya.
Bahan
pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses PdP. Dengan menggunakan
strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik
serta berkesan manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih
bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri
atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang digunakan untuk
PdP biasanya boleh dikategorikan kepada dua iaitu bahan yang digunakan oleh
guru seperti lcd projector dan bahan yang digunakan oleh murid dalam
aktiviti pembelajaran seperti kad aktiviti.
Ketiga-tiga
strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya
kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun
dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam objektif pelajaran pada
peringkat optimum.
Teori Pembelajaran
Teori
membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran dan dapat memberi
panduan untuk menyelesaikan masalah murid. Menurut Thomas (1985), sesuatu teori
dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta
dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa depan dan
memperjelas perkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal,
bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian.
Teori
Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor
yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara
persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan
dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau
tidak wujud.
Teori
pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan
mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala
pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman
tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Dalam pembelajaran murid membentuk
struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun
segala pengalaman dan menyimpannya dalam ingatan.
Albert
Bandura (1977) memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku
melalui proses peniruan. Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung
kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau
model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. Selain itu, peniruan
selalunya diteguhkan. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura, menekankan
peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.
Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang
seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran,
pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian
itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke
atas tindakannya. Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah murid akan
belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui. Keinginan
untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan
fakta.
Masalah Ustaz Ahmad Jamir Pertama : Kawalan
Bilik Darjah
Ustaz Ahmad Jamir menghadapi masalah
untuk mengawal bilik darjah ketika PdP sedang dijalankan. Terdapat beberapa
faktor yang menyumbang kepada bilik darjah yang tidak terkawal. Ini termasuklah
PdP yang tidak terancang, jumlah pelajar yang ramai, kecepatan murid menyiapkan
tugasan dan latarbelakang murid bermasalah atau nakal. Namun masalah ini juga
mungkin terjadi disebabkan arahan guru yang tidak jelas dan tidak terperinci
kepada murid. Akibatnya, murid mengganggu rakan lain dan mula membuat bising
meskipun guru sedang melakukan PdP di dalam bilik darjah.
Terdapat beberapa cara bagaimana mengawal bilik
darjah ketika PdP sedang berlangsung. Pertama sekali iaitu dengan cara berfokus
atau teknik senyap. Ustaz Ahmad Jamir boleh meminta perhatian murid sebelum
memulakan PdP dan hanya akan memulakan pengajaran apabila murid sudah senyap dan
bersedia. Teknik senyap pula bermaksud Ustaz Ahmad Jamir boleh berhenti
seketika dan senyap selama beberapa saat sehingga murid turut senyap dan
bersedia. Ustaz Ahmad Jamir boleh meneruskan PdP apabila murid sudah bersedia.
Cara kedua ialah dengan instruksi
secara langsung. Ustaz Ahmad Jamir perlu menjelaskan kepada murid apa yang akan
dilakukan di dalam PdP tersebut berserta had masanya. Selain itu, Ustaz Ahmad
Jamir juga boleh memberikan masa beberapa minit kepada pelajar untuk
menyudahkan kerja yang menyebabkan murid hilang tumpuan.
Cara ketiga ialah dengan kawalan
persekitaran. Ustaz Ahmad Jamir digalakkan untuk membawa murid keluar daripada
bilik darjah sekiranya terdapat aktiviti lain yang sedang berlaku di luar bilik
darjah seperti ada kelas yang sedang bersukan atau majlis sekolah. Kewujudan
aktiviti luar bilik darjah ini sememangnya mempengaruhi fokus murid di dalam
bilik darjah. Maka Ustaz Ahmad Jamir boleh mengambil inisiatif dengan membawa
murid ke tempat yang lebih kondusif.
Ustaz Ahmad Jamir juga boleh menggunakan traffic
light cards. Penggunaan traffic light cards sebagai kad penalti. Hijau untuk
‘Baik’, kuning untuk ‘Amaran Pertama’ dan merah untuk ‘Denda’. Denda yang
dikenakan mestilah berpatutan. Ustaz Ahmad Jamir tidak digalakkan menggunakan
denda yang boleh memudaratkan murid seperti berdiri di tengah panas.
Cara seterusnya ialah dengan pemberian
lencana tingkahlaku baik. Tujuannya ialah untuk membina harga diri murid.
Apabila seorang murid memperoleh lencana tersebut, murid yang lain juga turut
akan berusaha untuk mendapatkannya. Ustaz Ahmad Jamir perlu kreatif dalam
membuat lencana tingkahlaku untuk menarik perhatian murid.
Masalah Ustaz Ahmad Jamir Kedua :
Kurang Keyakinan Dengan Penyampaian Pelajaran
Masalah kedua yang dihadapi oleh Ustaz
Ahmad Jamir ialah berkenaan keyakinan akan penyampaian PdP kepada murid. Hal
ini sangat berkaitrapat dengan persediaan Ustaz Ahmad Jamir sebelum memulakan
PdP. Persediaan yang rapi sebelum memulakan
kerja bagi sebarang tugas amat dititikberatkan bagi memastikan setiap
produktiviti atau hasil yang diperolehi adalah berkualiti dan dapat menepati
objektif dan sasaran yang telah ditetapkan. Ia juga dapat melicinkan perjalanan
proses yang terlibat. Terdapat pelbagai kemungkinan yang akan berlaku sepanjang
proses PdP di dalam bilik darjah.
Antara
kepentingan persediaan sebelum PdP ialah dapat membolehkan guru menentukan
objektif pengajaran yang sesuai dengan sukatan pelajaran dan kebolehan pelajar.
Selain itu, guru juga dapat menentukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik
pengajaran yang sesuai dengan objektif pengajaran serta dapat membantu guru
memilih bahan dan sumber serta aktiviti yang sesuai. Guru juga dapat memastikan
semua isi pelajaran dapat disampaikan kepada murid dengan baik. Di samping itu,
persediaan mengajar dapat memastikan guru agar tidak menyeleweng dalam
pengajaran.
Selain
itu, persediaan mengajar penting dalam memberi keyakinan kepada guru-guru,
terutamanya guru-guru baru serta memastikan pengajaran lebih sistematik dan
berkesan dari segi pengawalan kelas, penggabung jalinan dan penyerapan secara
terancang. Menurut Mok, S. S. (2002), kepentingan persiapan persediaan mengajar
termasuklah membolehkan guru mengajar dengan lebih berkeyakinan.
Terdapat beberapa persediaan yang
perlu Ustaz Ahmad Jamir lakukan agar memastikan beliau yakin ketika melaksana
PdP. Pertama, Ustaz Ahmad Jamir disarankan untuk menyimpan RPH dan RPT di dalam
satu folder. Ini dapat memastikan perancangan PdP dapat dihasilkan dengan mudah
dan boleh dirujuk setiap masa. Kedua, Ustaz Ahmad Jamir disarankan agar
menyediakan dengan awal apa-apa bahan yang boleh digunakan untuk tujuan PdP seperti
gambar, video dan lagu di dalam computer dan telefon pintar. Ini dapat
memudahkan Ustaz Ahmad Jamir untuk membuat kepelbagaian bahan bantu mengajar
dalam pengajaran sekaligus menarik minat murid. Ketiga, Ustaz Ahmad Jamir
disarankan untuk merancang beberapa aktiviti pengayaan yang akan dilakukan
ketika PdP atau selepas PdP dijalankan seperti kuiz dan sebagainya. Akhir
sekali, Ustaz Ahmad Jamir juga disarankan untuk memberikan ganjaran kepada
murid setiap kali murid berjaya menyiapkan tugasan mahupun aktiviti yang
dijalankan. Sebagai contoh, label atau pelekat “cemerlang” dan “Terbaik”,
mahupun penggunaan cop khas yang berwarna dan sebagainya. Pemberian ganjaran
merit ini akan meningkatkan keinginan murid dalam bersaing sesama mereka untuk
menyelesaikan tugasan dengan lebih baik.
RUMUSAN
Tegasnya, pengetahuan pedagogi merupakan aset
penting kepada seorang guru. Ianya perlu difahami dan diaplikasikan dalam
proses PdP di sekolah. Melalui pengetahuan pedagogi, seorang guru akan dapat
mempelbagaikan cara pengajarannya agar menarik minat pelajar dan juga dapat
menyampaikan isi pelajaran dengan lebih baik sekaligus dapat melahirkan murid
yang berkemahiran serta memenuhi Enam Aspirasi Murid sepertimana yang
terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Menerusi
pengetahuan pedagogi juga, guru akan menjadi lebih kreatif dan dapat mengatasi
masalah murid yang kurang berminat untuk belajar dengan pelbagai pendekatan,
kaedah, strategi dan teknik yang boleh digunakan seterusnya menjamin
perkembangan murid seiring dengan Falsafah Pendidikan Guru di Malaysia.
RUJUKAN
Pelbagai rujukan dibuat :)