07 December 2018

Guru Kurang Keyakinan Dalam Penyampaian & Mengawal Murid


PENGENALAN

Keberkesanan penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid bergantung kepada kaedah dan strategi pengajaran yang diaplikasikan oleh guru. Guru perlu kreatif dalam memilih strategi pengajaran agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) mencapai objektifnya. Guru juga perlu melengkapkan pengetahuan dirinya dengan ilmu dan teori pedagogi sebelum memulakan PdP. Ini adalah untuk memastikan guru bersedia dan berupaya merancang serta menentukan kaedah, teknik, pendekatan dan strategi yang efektif dan bersesuaian dengan keadaan murid.

Konsep Pedagogi
Kajian menunjukkan bahawa pedagogi berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud kaedah mengajar kanak-kanak. Namun konteks pedagogi ini dikembangkan meliputi pengajaran di semua peringkat sekolah termasuklah peringkat universiti. Shafritz (1997) mendeifiniskan pedagogi sebagai prinsip dan kaedah pengajaran. Pedagogi juga ditakrifkan sebagai kemahiran mengajar yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan pengetahuan yang khusus dalam sesuatu bidang.

Manakala bagi Ee Ah Meng (1989) menyatakan bahawa pedagogi atau pengajaran sebagai satu sains iaitu sistem aktiviti-aktiviti yang ditujukan kepada murid-murid dengan bertujuan membawa perubahan tingkah laku dikalangan mereka. Sharifah Alwiah (1983) menganggap pengajaran sebagai aktiviti atau proses kerana apabila mengajar, aktiviti seperti menyoal, menerangkan, mendengar, menggalakkan sesuatu, dan berbagai-bagai aktiviti lain akan berlaku. Sharifah Alwiah juga menganggap pengajaran sebagai suatu proses komunikasi walaupun tidak semua aktiviti pengajaran merupakan komunikasi antara guru dengan pelajar. 

Strategi Pengajaran
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kaedah dan strategi pengajaran bergantung kepada daya kreativiti guru dan kesesuaian kehendak murid untuk mencapai objektif PdP. Ini kerana kepelbagaian tahap penerimaan murid terhadap bahan yang diberikan. Justeru, strategi PdP boleh diklasifikasikan kepada tiga unsur utama iaitu strategi pemusatan guru, murid, dan bahan.

Strategi pemusatan guru merupakan strategi PdP yang telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Di bawah strategi PdP ini, guru memainkan peranan yang utama. Guru akan menguasai dan mengawal segala aktiviti pelajaran iaitu guru banyak memberi penerangan dan pelajar hanya mendengar. Dalam aktiviti PdP, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid berperanan sebagai penonton sahaja.

Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran. Murid akan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran. Guru merupakan pemudahcara kepada murid dalam menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Antara kaedah di bawah strategi berpusatkan murid ini alah kumpulan, lawatan, simulasi, main peranan dan sebagainya.

Bahan pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses PdP. Dengan menggunakan strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang digunakan untuk PdP biasanya boleh dikategorikan kepada dua iaitu bahan yang digunakan oleh guru seperti lcd projector dan bahan yang digunakan oleh murid dalam aktiviti pembelajaran seperti kad aktiviti.

Ketiga-tiga strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam objektif pelajaran pada peringkat optimum.

Teori Pembelajaran
Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran dan dapat memberi panduan untuk menyelesaikan masalah murid. Menurut Thomas (1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa depan dan memperjelas perkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian.

Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud.

Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Dalam pembelajaran murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ingatan.

Albert Bandura (1977) memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. Selain itu, peniruan selalunya diteguhkan. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura, menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.

Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui. Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta.

Masalah Ustaz Ahmad Jamir Pertama : Kawalan Bilik Darjah
Ustaz Ahmad Jamir menghadapi masalah untuk mengawal bilik darjah ketika PdP sedang dijalankan. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada bilik darjah yang tidak terkawal. Ini termasuklah PdP yang tidak terancang, jumlah pelajar yang ramai, kecepatan murid menyiapkan tugasan dan latarbelakang murid bermasalah atau nakal. Namun masalah ini juga mungkin terjadi disebabkan arahan guru yang tidak jelas dan tidak terperinci kepada murid. Akibatnya, murid mengganggu rakan lain dan mula membuat bising meskipun guru sedang melakukan PdP di dalam bilik darjah.

Terdapat beberapa cara bagaimana mengawal bilik darjah ketika PdP sedang berlangsung. Pertama sekali iaitu dengan cara berfokus atau teknik senyap. Ustaz Ahmad Jamir boleh meminta perhatian murid sebelum memulakan PdP dan hanya akan memulakan pengajaran apabila murid sudah senyap dan bersedia. Teknik senyap pula bermaksud Ustaz Ahmad Jamir boleh berhenti seketika dan senyap selama beberapa saat sehingga murid turut senyap dan bersedia. Ustaz Ahmad Jamir boleh meneruskan PdP apabila murid sudah bersedia.

Cara kedua ialah dengan instruksi secara langsung. Ustaz Ahmad Jamir perlu menjelaskan kepada murid apa yang akan dilakukan di dalam PdP tersebut berserta had masanya. Selain itu, Ustaz Ahmad Jamir juga boleh memberikan masa beberapa minit kepada pelajar untuk menyudahkan kerja yang menyebabkan murid hilang tumpuan.

Cara ketiga ialah dengan kawalan persekitaran. Ustaz Ahmad Jamir digalakkan untuk membawa murid keluar daripada bilik darjah sekiranya terdapat aktiviti lain yang sedang berlaku di luar bilik darjah seperti ada kelas yang sedang bersukan atau majlis sekolah. Kewujudan aktiviti luar bilik darjah ini sememangnya mempengaruhi fokus murid di dalam bilik darjah. Maka Ustaz Ahmad Jamir boleh mengambil inisiatif dengan membawa murid ke tempat yang lebih kondusif.

Ustaz Ahmad Jamir juga boleh menggunakan traffic light cards. Penggunaan traffic light cards sebagai kad penalti. Hijau untuk ‘Baik’, kuning untuk ‘Amaran Pertama’ dan merah untuk ‘Denda’. Denda yang dikenakan mestilah berpatutan. Ustaz Ahmad Jamir tidak digalakkan menggunakan denda yang boleh memudaratkan murid seperti berdiri di tengah panas.

Cara seterusnya ialah dengan pemberian lencana tingkahlaku baik. Tujuannya ialah untuk membina harga diri murid. Apabila seorang murid memperoleh lencana tersebut, murid yang lain juga turut akan berusaha untuk mendapatkannya. Ustaz Ahmad Jamir perlu kreatif dalam membuat lencana tingkahlaku untuk menarik perhatian murid.

Masalah Ustaz Ahmad Jamir Kedua : Kurang Keyakinan Dengan Penyampaian Pelajaran
Masalah kedua yang dihadapi oleh Ustaz Ahmad Jamir ialah berkenaan keyakinan akan penyampaian PdP kepada murid. Hal ini sangat berkaitrapat dengan persediaan Ustaz Ahmad Jamir sebelum memulakan PdP. Persediaan yang rapi sebelum memulakan kerja bagi sebarang tugas amat dititikberatkan bagi memastikan setiap produktiviti atau hasil yang diperolehi adalah berkualiti dan dapat menepati objektif dan sasaran yang telah ditetapkan. Ia juga dapat melicinkan perjalanan proses yang terlibat. Terdapat pelbagai kemungkinan yang akan berlaku sepanjang proses PdP di dalam bilik darjah.

Antara kepentingan persediaan sebelum PdP ialah dapat membolehkan guru menentukan objektif pengajaran yang sesuai dengan sukatan pelajaran dan kebolehan pelajar. Selain itu, guru juga dapat menentukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan objektif pengajaran serta dapat membantu guru memilih bahan dan sumber serta aktiviti yang sesuai. Guru juga dapat memastikan semua isi pelajaran dapat disampaikan kepada murid dengan baik. Di samping itu, persediaan mengajar dapat memastikan guru agar tidak menyeleweng dalam pengajaran.

Selain itu, persediaan mengajar penting dalam memberi keyakinan kepada guru-guru, terutamanya guru-guru baru serta memastikan pengajaran lebih sistematik dan berkesan dari segi pengawalan kelas, penggabung jalinan dan penyerapan secara terancang. Menurut Mok, S. S. (2002), kepentingan persiapan persediaan mengajar termasuklah membolehkan guru mengajar dengan lebih berkeyakinan.

Terdapat beberapa persediaan yang perlu Ustaz Ahmad Jamir lakukan agar memastikan beliau yakin ketika melaksana PdP. Pertama, Ustaz Ahmad Jamir disarankan untuk menyimpan RPH dan RPT di dalam satu folder. Ini dapat memastikan perancangan PdP dapat dihasilkan dengan mudah dan boleh dirujuk setiap masa. Kedua, Ustaz Ahmad Jamir disarankan agar menyediakan dengan awal apa-apa bahan yang boleh digunakan untuk tujuan PdP seperti gambar, video dan lagu di dalam computer dan telefon pintar. Ini dapat memudahkan Ustaz Ahmad Jamir untuk membuat kepelbagaian bahan bantu mengajar dalam pengajaran sekaligus menarik minat murid. Ketiga, Ustaz Ahmad Jamir disarankan untuk merancang beberapa aktiviti pengayaan yang akan dilakukan ketika PdP atau selepas PdP dijalankan seperti kuiz dan sebagainya. Akhir sekali, Ustaz Ahmad Jamir juga disarankan untuk memberikan ganjaran kepada murid setiap kali murid berjaya menyiapkan tugasan mahupun aktiviti yang dijalankan. Sebagai contoh, label atau pelekat “cemerlang” dan “Terbaik”, mahupun penggunaan cop khas yang berwarna dan sebagainya. Pemberian ganjaran merit ini akan meningkatkan keinginan murid dalam bersaing sesama mereka untuk menyelesaikan tugasan dengan lebih baik.

RUMUSAN
Tegasnya, pengetahuan pedagogi merupakan aset penting kepada seorang guru. Ianya perlu difahami dan diaplikasikan dalam proses PdP di sekolah. Melalui pengetahuan pedagogi, seorang guru akan dapat mempelbagaikan cara pengajarannya agar menarik minat pelajar dan juga dapat menyampaikan isi pelajaran dengan lebih baik sekaligus dapat melahirkan murid yang berkemahiran serta memenuhi Enam Aspirasi Murid sepertimana yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Menerusi pengetahuan pedagogi juga, guru akan menjadi lebih kreatif dan dapat mengatasi masalah murid yang kurang berminat untuk belajar dengan pelbagai pendekatan, kaedah, strategi dan teknik yang boleh digunakan seterusnya menjamin perkembangan murid seiring dengan Falsafah Pendidikan Guru di Malaysia.

RUJUKAN
Pelbagai rujukan dibuat :) 


No comments:

Post a Comment