03 December 2018

Peranan Guru Membentuk Modal Insan

Kursus : Falsafah Pendidikan

PENDAHULUAN

Pembangunan sumber manusia merupakan satu aspek yang penting untuk pembangunan ekonomi sesebuah Negara. Pengenalan konsep modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah bertepatan dengan langkah membendung jenayah komersial yang berlaku sebelum ini. Modal insan yang diketengahkan adalah modal insan yang berkualiti yang menjadi teras utama RMK-9. Pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara holistik merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal intelek termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan Sains dan Teknologi (S&T) serta memiliki sikap, nilai dan etika positif dan progresif melalui pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.

KONSEP MODAL INSAN

Modal terbahagi kepada dua bahagian, iaitu modal fizikal dan modal insan. Modal fizikal diertikan sebagai sekumpulan wang, aset dan harta yang dapat digemblengkan ke dalam pelbagai kegiatan untuk menghasilkan keluaran yang menguntungkan. Modal manusia atau modal insan ditakrifkan sebagai ciri-ciri yang dimiliki oleh manusia yang menyebabkan mereka lebih produktif. Modal ini tidak boleh dipindahkan kepada seseorang kepada seseorang yang lain tetapi seseorang perlu melabur untuk mendapatkannya. Ia dibentuk atau dipupuk melalui pelaburan terhadap pendidikan, latihan sebelum bekerja, latihan semasa bekerja, kesihatan, penghijrahan dan usaha mencari maklumat yang dapat meningkatkan taraf hidup sesorang.

Pembangunan modal insan pula merupakan suatu proses bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa. Ketiadaan jiwa yang bertaqwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh. Disamping itu, pembangunan modal insan juga adalah pembangunan yang penuh dengan keinsanannya. Ia harus dilengkapi dengan pembangunan jiwa, hati dan naluri bagi melahirkan insan yang ada sifat keinsanannya. Ciri-ciri modal insan merangkumi tiga aspek utama iaitu ilmu, kemahiran dan penampilan yang unggul. Ini termasuklah jati diri yg kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, perlu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, dan berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru

GURU SEBAGAI PEMBINA MODAL INSAN

Pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, keperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan Negara maju untuk abad ke-21. Modal insan yang ingin dihasilkan adalah yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran yang lebih global dan sering berubah-ubah.

Kementerian Pendidikan Malaysia diberikan tugas yang berat sebagai pemimpin yang dapat menghasilkan generasi muda Malaysia berpotensi, mempunyai pelbagai kemahiran serta dapat membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi Negara di mata dunia, selari dengan hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan adalah aktiviti memahami potensi yang terdapat pada seseorang dan seterusnya melakukan sesuatu untuk kesempurnaan tabi’i. Setiap potensi individu boleh berkembang ke tahap cemerlang jika diberi peluang secukupnya. Pembentukan modal insan dapat dicapai melalui aspek pendidikan dan tarbiyyah. Pendidikan bermakna memberikan ilmu secara formal, manakala tarbiyyah adalah pendidikan tidak formal namun berkesinambungan sifatnya. Pendidikan secara formal adalah bentuk pendidikan yang ditawarkan sama ada pihak kerajaan atau swasta seperti pendidikan awal di Tadika Asuhan Kanak-kanak (TASKA), Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Antara individu yang memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan selepas ibu bapa ialah guru. Hal ini kerana, di sekolah guru sebagai individu yang bersama-sama dengan pelajar dan individu yang bertanggungjawab menggilap potensi pelajar, pembimbing, pembentuk akhlak, penjana perubahan di dalam diri pelajar, pendorong kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan sebagainya. Oleh itu, setiap guru mestilah mempunyai ciri-ciri positif dalam diri mereka seiring dengan usaha untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai ciri-ciri modal insan.  Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DARI PERSPEKTIF FPK DAN FPG

Peranan guru dalam membina modal insan ini juga termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan merupakan suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Manakala di dalam Falsafah Pendidikan Guru pula dinyatakan ciri-ciri guru yang akan merealisasikan falsafah pendidikan kebangsaan tersebut. Antara cirri tersebut termasuklah guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

TOKOH PENDIDIK DAN KONSEP KERJAYA GURU SEBAGAI IBADAH

Di dalam Islam, konsep guru kerjaya seorang guru merupakan ibadah. Ibadah secara literal bermaksud taat dan tunduk. Dari segi syaraknya ialah ketaatan dan kepatuhan yang harus disertai dengan perasaan kasih dan cinta kepada Allah SWT disebabkan allah sahaja yang berhak menerima kasih dan cinta yg sebenarnya.

Antara tokoh pendidik negara yang banyak menyumbang kepada perubahan pendidikan di Malaysia ialah Za’ba dan Aminuddin Baki. Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Bin Ahmad mendapat didikan agama yang mantap. Antara sumbangan dan hasil karya Za’ba ialah pelita bahasa melayu, ilmu mengarang melayu, daftar ejaan melayu jawi dan rumi, falsafah takdir penggal 1 serta mendapat perbahasan ulama berkenaan dgn qadha dan qadar.

Sementara itu, Aminuddin Baki yang digelar menjadi Bapa Pendidikan Kebangsaan. Antara sumbangan beliau ialah memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru pelatih Maktab perguruan Sultan Idris, melibatkan diri dlm penyediaan Penyata Razak 1955, ahli Jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman Talib pada 1960, mewujudkan SRP, SPM dan STPM dan menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN DALAM PPPM

Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya. Setiap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan. Pelan ini akan terus menterjemahkan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai aspirasi murid. Perkara ini selari dengan maklum balas daripada Dialog Nasional. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga mengambil pengajaran daripada sistem pendidikan berprestasi tinggi untuk membangunkan ciri-ciri atribut dan kecekapan tertentu yang diperlukan oleh murid untuk berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan seimbang diperlihatkan dalam enam ciri. Ciri ini bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif, kemahiran memimpin, kemahiran dalam dwibahasa, sahsiah dan nilai, serta semangat identiti nasional yang kuat. Ciri ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi membolehkan semua murid memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat, dan negara. 

PENUTUP

Tuntasnya, pembentukan dan pembinaan modal insan di dalam pendidikan Malaysia berkaitrapat dengan peranan guru sepertimana hasrat yang terkandung dalam falsafah pendidikan kebangsaan dan falsafah pendidikan guru. Proses ini juga bergantung kepada bagaimana guru melaksanakan kerjayanya sebagai ibadah dan memiliki sifat peribadi yang unggul.


RUJUKAN
Perlbagai rujukan dibuat. :)

x

No comments:

Post a Comment