Belajar Berubah



Berubah dari suatu keadaan kepada keadaan lain yang lebih baik biasanya memerlukan pengorbanan. Kita mungkin terbiasa inginkan perubahan yang mudah nampak dan berbentuk kebendaan. Kita mungkin suka berubah taraf hidup kepada keadaan yang lebih baik dengan rumah yang lebih besar, kereta mewah dan sebagainya. Kita juga mungkin suka berubah kepada jawatan yang lebih tinggi dengan perbagai benefit dari jawatan itu.
Untuk berubah kepada taraf hidup yang lebih baik memerlukan pengorbanan. Tetapi pengorbanannya tidaklah sebesar pengorbanan merubah keadaan dalaman atau rohaniah kita. Lebih-lebih lagi perubahan ini biasanya tak dapat dilihat dengan mata kasar. Hanya dapat dirasai atau dialami oleh orang yang melalui perubahan itu sahaja.
Kita semua mungkin telah jelas mengenai perjalanan hidup kita di dunia ini. Namun sebagai refresh pemahaman kita mengenai kehidupan yang sementara ini…
Perjalanan hidup ini adalah sebuah ujian yang lengkap dari Allah untuk setiap dari kita manusia lalui. Ujian keimanan untuk kita akui bahawa kita adalah hambaNya. Ia bukan 6 atau 81 atau 4173 atau 237968 ujian yang kita perlu lalui di dalam hidup ini. Tetapi ia adalah sebuah ujian yang lengkap yang meliputi setiap detik kehidupan. Setiap saat kita diuji, cuma kita sedar atau tidak sahaja yang kita sedang diuji secara berterusan.
Ada ujian berbentuk kesenangan. Ada ujian berbentuk kesusahan. Ada ujian berbentuk kebiasaan harian. Pendek kata ujian didatangi Allah dalam perbagai bentuk yang meliputi seluruh kehidupan.
Rutin atau perkara biasa yang kita lakukan dan kita memang mahir lakukannya setiap hari, mungkin kita tak menganggapnya sebagai sebahagian dari ujian juga. Perkara seperti gosok gigi, mandi, hantar anak pergi sekolah, makan nasi, sembang minum teh tarik dengan kawan dan sebagainya adalah perkara rutin yang mudah untuk kita lakukan. Jadi biasanya kita tidak menganggapnya sebagai ujian.
Tetapi sebenarnya semua ini juga adalah sebahagian dari ujian lengkap dari Allah juga untuk kita lalui di dalam suatu perjalanan yang dipanggil sebuah kehidupan. Jika kita perhatikan, setiap hari samaada kita gosok gigi atau sembang minum teh tarik atau apa saja rutin harian kita lakukan, kita ada melalui pengalaman baru. Cuma samaada kita perasan atau tidak saja. Ketika gosok gigi dan sebagainya, kita mungkin diberi ilham untuk melakukan sesuatu yang baik atau kita mungkin “dibisik” akan perkara yang tidak baik. Perhatikan reaksi kita sendiri bila menerima ilham atau “bisikan” ini. Dan perkara ini sentiasa berbeza-beza jika kita perasan walaupun kita lakukannya setiap hari secara rutin.
Setiap orang tentulah tidak sama perjalanan hidupnya seperti yang Allah tentukan untuk dia lalui. Dan perjalanan hidup ini khas diciptakan oleh Allah untuknya seorang sahaja lalui. Perfectly crafted for each one of us to go through. Sebenarnya setiap hari, bahkan setiap detik hidup kita kita diberi peluang untuk bersama Allah. Kita tahu Allah sentiasa bersama kita. Tetapi bagaimana kita nak bersama Allah.
Kita mungkin biasa dengar istilah “Lalui dan Rasa”. Apa yang hendak kita lalui? Apa yang hendak kita rasai? Kita hendak lalui kehidupan yang Allah hendak kita lalui bersama Allah. Kita hendak rasai keseronokan dan kesedihan, kesukaan dan keperitan, nikmat dan sengsara kehidupan bersama Allah. Dan setiap orang pasti akan merasai pelbagai detik-detik suka-duka ini. Kerana kasihkan hambaNya, Allah mencipta semua keadaan ini untuk kita lalui dan rasa.
Setiap keadaan yang Allah ciptakan untuk kita lalui dan rasa ini tidak akan kekal. Ia pasti akan berakhir atau berubah. Setidak-tidaknya pengakhirannya adalah dengan kematian. Bila kita rasa nikmat atau keseronokan, kita tentu hendak keadaan itu berpanjangan. Tetapi kita tahu keadaan seronok itu tetap berakhir. Begitu juga perasaan sedih atau kesusahan, ia akan berakhir juga.
Allah memberi kita lalui keadaan yang berbeza-beza ini supaya kita sentiasa bersamaNya. Supaya kita sentiasa bersyukur dan bergantung harap penuh kepadaNya. Supaya kita berhenti bergantung harap kepada selain dariNya. Dari sekecil-kecil perkara (trivial matters) hinggalah sebesar-besarnya (life changing, life threatening events) pada pandangan kita.
Kita selalu ditipu oleh akal kita yang tak berhenti berusaha memikirkan jalan keluar untuk kita bila kita ditimpa sesuatu masalah. Dan oleh kerana dalam banyak keadaan, cadangan dari akal kita ini “berhasil” menyelesaikan masalah kita, kita selalu ditipu untuk bertambah yakin dengan kebolehan akal kita mencari jalan keluar dari setiap keadaan. Kita juga banyak mempelajari ilmu dalam perbagai bidang yang kita ceburi samaada ilmu duniawi mahupun ukhrawi. Ditambah pula dengan pengalaman yang luas di dalam interaksi harian kita termasuk ilmu “street smart”. Ini menambahkan lagi keyakinan kita pada kebolehan diri kita menyelesaikan masalah apabila kita dihidang atau dibentangkan dengan sesuatu masalah.
Kita lupa bahawa semua jalan keluar dari semua masalah hanyalah dari Allah. Kerana Allah jugalah yang memberikan kita setiap masalah atau keadaan kesulitan itu untuk kita lalui in the first place.
Bagaimana sikap kita bila kita diuji Allah di mana tiada jalan keluar yang kita dapati setelah puas akal kita memikirkan 1001 macam jalan keluar. Puas meminta tolong kaum-keluarga, sahabat-handai dan rakan-rakan termasuk yang kita jarang-jarang hubungi tetapi dah sebab terdesak terpaksa juga hubungi, minta tolong orang ‘alim, pakar, doktor, bomoh, pawang. Semua kita dah cuba. Tapi kita masih tak dapat keluar dari masalah kita. Sebelum ini, walaupun Allah sentiasa bersama kita, tapi kita lebih selesa dengan kebolehan akal, kemahiran, ilmu dan pengalaman yang luas yang kita rasa kita miliki untuk kita gunakan menyelesaikan sesuatu masalah.
Tetapi bila “semua jalan” ditutup olehNya, kita menjadi benar-benar buntu. Pada ketika ini barulah kita mula memohon dengan bersungguh-sungguh, berdoa, bermunajat ketika orang lain sedang nyenyak tidur, merayu, menangis dan mengemis kepada Allah, Pemilik dan Pentadbir sekalian alam dan DIRI ini. Pemilik sebenar “keAkuan Diri” ini yang selalu merasakan ianya hebat. Baru kita sedar bahawa selama ini Allahlah yang memberi kita setiap jalan keluar, bukan akal kita, kemahiran kita, lain-lain manusia, mesin-mesin atau mana-mana makhluk.
Tiada keadaan yang kita lalui melainkan Allahlah yang menjadikannya.
Tiada jalan keluar yang kita dapati melainkan Allahlah yang menjadikannya.
Sebab itu kita kena biasakan diri untuk refer Allah di dalam melalui setiap keadaan.
Sebab itu kita kena biasakan diri untuk tinggalkan refer pada akal kita dahulu di dalam melalui setiap keadaan.
Kita hendak beriman dengan penuh keyakinan bahawa diri kita ini milik penuh Allah, kehidupan yang kita lalui ini milik penuh Allah, dan segala perasaan yang kita rasai ini adalah milik penuh Allah.
Kita hendak beriman dengan penuh keyakinan bahawa Allah berkuasa penuh secara mutlak ke atas diri kita ini.
Kita tidak mampu rasai sesuatu perasaan selain dari apa yang Allah hendak kita rasai.Kita tidak mampu merasai keperitan dan kesengsaraan hidup melainkan jika itulah kehendak Allah untuk kita rasai.Kita tidak mampu merasai kenikmatan dan keseronokan hidup melainkan jika itulah kehendak Allah untuk kita rasai.
Kita hanya mampu bersaksikan pemilikan penuh Allah ke atas diri kita. Dan untuk bersaksikan pemilikan dan penguasaan penuh Allah ke atas diri kita, kita perlu bersama Allah. Dan untuk bersama Allah, kita perlu berserah penuh diri kita dengan penuh ikhlas kepada Allah. Untuk mengakui dengan penuh ikhlas diri kita sebenarnya adalah hambaNya.

sumber

Comments

Popular posts from this blog

في حب الله

SEPULUH APRESIASI buat SMAIP Tetap Di Hati