17 December 2018

Jika Ada Salah


Jika ada salah,
akui kesalahan dan mohon maaf
maafkan diri dan teruskan melangkah
meskipun selepas itu
peritnya umpama memijak duri
dengan kaki tidak bersepatu..

Manusia akan menghukum
bahawa satu salahmu itu
akan meranapkan sejuta kebenaran
akan menghancurkan beribu kebaikan
yang kau lakukan.

Bertahanlah selagi mampu
bersabarlah jika perlu
kau tidak usah membuktikan 
bahawa kau akan betulkan
biar waktu menelan
semua kepahitan.

Maka,
jika ada salah
teruskan melangkah
pekakkan telinga
dan
perbaiki kesalahan.

Acid Khoudri
Papar | Sabah
17 Disember 2018

07 December 2018

Guru Kurang Keyakinan Dalam Penyampaian & Mengawal Murid


PENGENALAN

Keberkesanan penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid bergantung kepada kaedah dan strategi pengajaran yang diaplikasikan oleh guru. Guru perlu kreatif dalam memilih strategi pengajaran agar pengajaran dan pembelajaran (PdP) mencapai objektifnya. Guru juga perlu melengkapkan pengetahuan dirinya dengan ilmu dan teori pedagogi sebelum memulakan PdP. Ini adalah untuk memastikan guru bersedia dan berupaya merancang serta menentukan kaedah, teknik, pendekatan dan strategi yang efektif dan bersesuaian dengan keadaan murid.

Konsep Pedagogi
Kajian menunjukkan bahawa pedagogi berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud kaedah mengajar kanak-kanak. Namun konteks pedagogi ini dikembangkan meliputi pengajaran di semua peringkat sekolah termasuklah peringkat universiti. Shafritz (1997) mendeifiniskan pedagogi sebagai prinsip dan kaedah pengajaran. Pedagogi juga ditakrifkan sebagai kemahiran mengajar yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan pengetahuan yang khusus dalam sesuatu bidang.

Manakala bagi Ee Ah Meng (1989) menyatakan bahawa pedagogi atau pengajaran sebagai satu sains iaitu sistem aktiviti-aktiviti yang ditujukan kepada murid-murid dengan bertujuan membawa perubahan tingkah laku dikalangan mereka. Sharifah Alwiah (1983) menganggap pengajaran sebagai aktiviti atau proses kerana apabila mengajar, aktiviti seperti menyoal, menerangkan, mendengar, menggalakkan sesuatu, dan berbagai-bagai aktiviti lain akan berlaku. Sharifah Alwiah juga menganggap pengajaran sebagai suatu proses komunikasi walaupun tidak semua aktiviti pengajaran merupakan komunikasi antara guru dengan pelajar. 

Strategi Pengajaran
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kaedah dan strategi pengajaran bergantung kepada daya kreativiti guru dan kesesuaian kehendak murid untuk mencapai objektif PdP. Ini kerana kepelbagaian tahap penerimaan murid terhadap bahan yang diberikan. Justeru, strategi PdP boleh diklasifikasikan kepada tiga unsur utama iaitu strategi pemusatan guru, murid, dan bahan.

Strategi pemusatan guru merupakan strategi PdP yang telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Di bawah strategi PdP ini, guru memainkan peranan yang utama. Guru akan menguasai dan mengawal segala aktiviti pelajaran iaitu guru banyak memberi penerangan dan pelajar hanya mendengar. Dalam aktiviti PdP, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid berperanan sebagai penonton sahaja.

Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan penting dalam proses pembelajaran. Murid akan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran. Guru merupakan pemudahcara kepada murid dalam menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Antara kaedah di bawah strategi berpusatkan murid ini alah kumpulan, lawatan, simulasi, main peranan dan sebagainya.

Bahan pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses PdP. Dengan menggunakan strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan manakala murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang digunakan untuk PdP biasanya boleh dikategorikan kepada dua iaitu bahan yang digunakan oleh guru seperti lcd projector dan bahan yang digunakan oleh murid dalam aktiviti pembelajaran seperti kad aktiviti.

Ketiga-tiga strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam objektif pelajaran pada peringkat optimum.

Teori Pembelajaran
Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran dan dapat memberi panduan untuk menyelesaikan masalah murid. Menurut Thomas (1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri seperti dapat menjelaskan fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk membuat ramalan masa depan dan memperjelas perkara yang sudah lepas, boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak andaian.

Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak wujud.

Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Dalam pembelajaran murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ingatan.

Albert Bandura (1977) memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. Selain itu, peniruan selalunya diteguhkan. Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura, menekankan peranan kognitif dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.

Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui. Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada pemerolehan fakta.

Masalah Ustaz Ahmad Jamir Pertama : Kawalan Bilik Darjah
Ustaz Ahmad Jamir menghadapi masalah untuk mengawal bilik darjah ketika PdP sedang dijalankan. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada bilik darjah yang tidak terkawal. Ini termasuklah PdP yang tidak terancang, jumlah pelajar yang ramai, kecepatan murid menyiapkan tugasan dan latarbelakang murid bermasalah atau nakal. Namun masalah ini juga mungkin terjadi disebabkan arahan guru yang tidak jelas dan tidak terperinci kepada murid. Akibatnya, murid mengganggu rakan lain dan mula membuat bising meskipun guru sedang melakukan PdP di dalam bilik darjah.

Terdapat beberapa cara bagaimana mengawal bilik darjah ketika PdP sedang berlangsung. Pertama sekali iaitu dengan cara berfokus atau teknik senyap. Ustaz Ahmad Jamir boleh meminta perhatian murid sebelum memulakan PdP dan hanya akan memulakan pengajaran apabila murid sudah senyap dan bersedia. Teknik senyap pula bermaksud Ustaz Ahmad Jamir boleh berhenti seketika dan senyap selama beberapa saat sehingga murid turut senyap dan bersedia. Ustaz Ahmad Jamir boleh meneruskan PdP apabila murid sudah bersedia.

Cara kedua ialah dengan instruksi secara langsung. Ustaz Ahmad Jamir perlu menjelaskan kepada murid apa yang akan dilakukan di dalam PdP tersebut berserta had masanya. Selain itu, Ustaz Ahmad Jamir juga boleh memberikan masa beberapa minit kepada pelajar untuk menyudahkan kerja yang menyebabkan murid hilang tumpuan.

Cara ketiga ialah dengan kawalan persekitaran. Ustaz Ahmad Jamir digalakkan untuk membawa murid keluar daripada bilik darjah sekiranya terdapat aktiviti lain yang sedang berlaku di luar bilik darjah seperti ada kelas yang sedang bersukan atau majlis sekolah. Kewujudan aktiviti luar bilik darjah ini sememangnya mempengaruhi fokus murid di dalam bilik darjah. Maka Ustaz Ahmad Jamir boleh mengambil inisiatif dengan membawa murid ke tempat yang lebih kondusif.

Ustaz Ahmad Jamir juga boleh menggunakan traffic light cards. Penggunaan traffic light cards sebagai kad penalti. Hijau untuk ‘Baik’, kuning untuk ‘Amaran Pertama’ dan merah untuk ‘Denda’. Denda yang dikenakan mestilah berpatutan. Ustaz Ahmad Jamir tidak digalakkan menggunakan denda yang boleh memudaratkan murid seperti berdiri di tengah panas.

Cara seterusnya ialah dengan pemberian lencana tingkahlaku baik. Tujuannya ialah untuk membina harga diri murid. Apabila seorang murid memperoleh lencana tersebut, murid yang lain juga turut akan berusaha untuk mendapatkannya. Ustaz Ahmad Jamir perlu kreatif dalam membuat lencana tingkahlaku untuk menarik perhatian murid.

Masalah Ustaz Ahmad Jamir Kedua : Kurang Keyakinan Dengan Penyampaian Pelajaran
Masalah kedua yang dihadapi oleh Ustaz Ahmad Jamir ialah berkenaan keyakinan akan penyampaian PdP kepada murid. Hal ini sangat berkaitrapat dengan persediaan Ustaz Ahmad Jamir sebelum memulakan PdP. Persediaan yang rapi sebelum memulakan kerja bagi sebarang tugas amat dititikberatkan bagi memastikan setiap produktiviti atau hasil yang diperolehi adalah berkualiti dan dapat menepati objektif dan sasaran yang telah ditetapkan. Ia juga dapat melicinkan perjalanan proses yang terlibat. Terdapat pelbagai kemungkinan yang akan berlaku sepanjang proses PdP di dalam bilik darjah.

Antara kepentingan persediaan sebelum PdP ialah dapat membolehkan guru menentukan objektif pengajaran yang sesuai dengan sukatan pelajaran dan kebolehan pelajar. Selain itu, guru juga dapat menentukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan objektif pengajaran serta dapat membantu guru memilih bahan dan sumber serta aktiviti yang sesuai. Guru juga dapat memastikan semua isi pelajaran dapat disampaikan kepada murid dengan baik. Di samping itu, persediaan mengajar dapat memastikan guru agar tidak menyeleweng dalam pengajaran.

Selain itu, persediaan mengajar penting dalam memberi keyakinan kepada guru-guru, terutamanya guru-guru baru serta memastikan pengajaran lebih sistematik dan berkesan dari segi pengawalan kelas, penggabung jalinan dan penyerapan secara terancang. Menurut Mok, S. S. (2002), kepentingan persiapan persediaan mengajar termasuklah membolehkan guru mengajar dengan lebih berkeyakinan.

Terdapat beberapa persediaan yang perlu Ustaz Ahmad Jamir lakukan agar memastikan beliau yakin ketika melaksana PdP. Pertama, Ustaz Ahmad Jamir disarankan untuk menyimpan RPH dan RPT di dalam satu folder. Ini dapat memastikan perancangan PdP dapat dihasilkan dengan mudah dan boleh dirujuk setiap masa. Kedua, Ustaz Ahmad Jamir disarankan agar menyediakan dengan awal apa-apa bahan yang boleh digunakan untuk tujuan PdP seperti gambar, video dan lagu di dalam computer dan telefon pintar. Ini dapat memudahkan Ustaz Ahmad Jamir untuk membuat kepelbagaian bahan bantu mengajar dalam pengajaran sekaligus menarik minat murid. Ketiga, Ustaz Ahmad Jamir disarankan untuk merancang beberapa aktiviti pengayaan yang akan dilakukan ketika PdP atau selepas PdP dijalankan seperti kuiz dan sebagainya. Akhir sekali, Ustaz Ahmad Jamir juga disarankan untuk memberikan ganjaran kepada murid setiap kali murid berjaya menyiapkan tugasan mahupun aktiviti yang dijalankan. Sebagai contoh, label atau pelekat “cemerlang” dan “Terbaik”, mahupun penggunaan cop khas yang berwarna dan sebagainya. Pemberian ganjaran merit ini akan meningkatkan keinginan murid dalam bersaing sesama mereka untuk menyelesaikan tugasan dengan lebih baik.

RUMUSAN
Tegasnya, pengetahuan pedagogi merupakan aset penting kepada seorang guru. Ianya perlu difahami dan diaplikasikan dalam proses PdP di sekolah. Melalui pengetahuan pedagogi, seorang guru akan dapat mempelbagaikan cara pengajarannya agar menarik minat pelajar dan juga dapat menyampaikan isi pelajaran dengan lebih baik sekaligus dapat melahirkan murid yang berkemahiran serta memenuhi Enam Aspirasi Murid sepertimana yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Menerusi pengetahuan pedagogi juga, guru akan menjadi lebih kreatif dan dapat mengatasi masalah murid yang kurang berminat untuk belajar dengan pelbagai pendekatan, kaedah, strategi dan teknik yang boleh digunakan seterusnya menjamin perkembangan murid seiring dengan Falsafah Pendidikan Guru di Malaysia.

RUJUKAN
Pelbagai rujukan dibuat :) 


03 December 2018

Peranan Guru Membentuk Modal Insan

Kursus : Falsafah Pendidikan

PENDAHULUAN

Pembangunan sumber manusia merupakan satu aspek yang penting untuk pembangunan ekonomi sesebuah Negara. Pengenalan konsep modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah bertepatan dengan langkah membendung jenayah komersial yang berlaku sebelum ini. Modal insan yang diketengahkan adalah modal insan yang berkualiti yang menjadi teras utama RMK-9. Pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara holistik merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal intelek termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan Sains dan Teknologi (S&T) serta memiliki sikap, nilai dan etika positif dan progresif melalui pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat.

KONSEP MODAL INSAN

Modal terbahagi kepada dua bahagian, iaitu modal fizikal dan modal insan. Modal fizikal diertikan sebagai sekumpulan wang, aset dan harta yang dapat digemblengkan ke dalam pelbagai kegiatan untuk menghasilkan keluaran yang menguntungkan. Modal manusia atau modal insan ditakrifkan sebagai ciri-ciri yang dimiliki oleh manusia yang menyebabkan mereka lebih produktif. Modal ini tidak boleh dipindahkan kepada seseorang kepada seseorang yang lain tetapi seseorang perlu melabur untuk mendapatkannya. Ia dibentuk atau dipupuk melalui pelaburan terhadap pendidikan, latihan sebelum bekerja, latihan semasa bekerja, kesihatan, penghijrahan dan usaha mencari maklumat yang dapat meningkatkan taraf hidup sesorang.

Pembangunan modal insan pula merupakan suatu proses bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa. Ketiadaan jiwa yang bertaqwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh. Disamping itu, pembangunan modal insan juga adalah pembangunan yang penuh dengan keinsanannya. Ia harus dilengkapi dengan pembangunan jiwa, hati dan naluri bagi melahirkan insan yang ada sifat keinsanannya. Ciri-ciri modal insan merangkumi tiga aspek utama iaitu ilmu, kemahiran dan penampilan yang unggul. Ini termasuklah jati diri yg kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, perlu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, dan berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru

GURU SEBAGAI PEMBINA MODAL INSAN

Pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, keperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan Negara maju untuk abad ke-21. Modal insan yang ingin dihasilkan adalah yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran yang lebih global dan sering berubah-ubah.

Kementerian Pendidikan Malaysia diberikan tugas yang berat sebagai pemimpin yang dapat menghasilkan generasi muda Malaysia berpotensi, mempunyai pelbagai kemahiran serta dapat membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi Negara di mata dunia, selari dengan hasrat dan Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan adalah aktiviti memahami potensi yang terdapat pada seseorang dan seterusnya melakukan sesuatu untuk kesempurnaan tabi’i. Setiap potensi individu boleh berkembang ke tahap cemerlang jika diberi peluang secukupnya. Pembentukan modal insan dapat dicapai melalui aspek pendidikan dan tarbiyyah. Pendidikan bermakna memberikan ilmu secara formal, manakala tarbiyyah adalah pendidikan tidak formal namun berkesinambungan sifatnya. Pendidikan secara formal adalah bentuk pendidikan yang ditawarkan sama ada pihak kerajaan atau swasta seperti pendidikan awal di Tadika Asuhan Kanak-kanak (TASKA), Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Antara individu yang memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan selepas ibu bapa ialah guru. Hal ini kerana, di sekolah guru sebagai individu yang bersama-sama dengan pelajar dan individu yang bertanggungjawab menggilap potensi pelajar, pembimbing, pembentuk akhlak, penjana perubahan di dalam diri pelajar, pendorong kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan sebagainya. Oleh itu, setiap guru mestilah mempunyai ciri-ciri positif dalam diri mereka seiring dengan usaha untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai ciri-ciri modal insan.  Ini berdasarkan kajian yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DARI PERSPEKTIF FPK DAN FPG

Peranan guru dalam membina modal insan ini juga termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana pendidikan merupakan suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Manakala di dalam Falsafah Pendidikan Guru pula dinyatakan ciri-ciri guru yang akan merealisasikan falsafah pendidikan kebangsaan tersebut. Antara cirri tersebut termasuklah guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

TOKOH PENDIDIK DAN KONSEP KERJAYA GURU SEBAGAI IBADAH

Di dalam Islam, konsep guru kerjaya seorang guru merupakan ibadah. Ibadah secara literal bermaksud taat dan tunduk. Dari segi syaraknya ialah ketaatan dan kepatuhan yang harus disertai dengan perasaan kasih dan cinta kepada Allah SWT disebabkan allah sahaja yang berhak menerima kasih dan cinta yg sebenarnya.

Antara tokoh pendidik negara yang banyak menyumbang kepada perubahan pendidikan di Malaysia ialah Za’ba dan Aminuddin Baki. Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Bin Ahmad mendapat didikan agama yang mantap. Antara sumbangan dan hasil karya Za’ba ialah pelita bahasa melayu, ilmu mengarang melayu, daftar ejaan melayu jawi dan rumi, falsafah takdir penggal 1 serta mendapat perbahasan ulama berkenaan dgn qadha dan qadar.

Sementara itu, Aminuddin Baki yang digelar menjadi Bapa Pendidikan Kebangsaan. Antara sumbangan beliau ialah memperkenalkan Sejarah Islam kepada guru pelatih Maktab perguruan Sultan Idris, melibatkan diri dlm penyediaan Penyata Razak 1955, ahli Jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman Talib pada 1960, mewujudkan SRP, SPM dan STPM dan menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN DALAM PPPM

Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya. Setiap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan. Pelan ini akan terus menterjemahkan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas mencapai aspirasi murid. Perkara ini selari dengan maklum balas daripada Dialog Nasional. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga mengambil pengajaran daripada sistem pendidikan berprestasi tinggi untuk membangunkan ciri-ciri atribut dan kecekapan tertentu yang diperlukan oleh murid untuk berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan seimbang diperlihatkan dalam enam ciri. Ciri ini bukan sahaja menekankan kepentingan pengetahuan, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif, kemahiran memimpin, kemahiran dalam dwibahasa, sahsiah dan nilai, serta semangat identiti nasional yang kuat. Ciri ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi membolehkan semua murid memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat, dan negara. 

PENUTUP

Tuntasnya, pembentukan dan pembinaan modal insan di dalam pendidikan Malaysia berkaitrapat dengan peranan guru sepertimana hasrat yang terkandung dalam falsafah pendidikan kebangsaan dan falsafah pendidikan guru. Proses ini juga bergantung kepada bagaimana guru melaksanakan kerjayanya sebagai ibadah dan memiliki sifat peribadi yang unggul.


RUJUKAN
Perlbagai rujukan dibuat. :)

x

01 December 2018

Laporan PBS 1

Kursus : Psikologi Pendidikan


Pertumbuhan ialah perubahan yang dapat dilihat dengan nyata dan bersifat kuantitatif iaitu dapat dilihat dan diukur. Manakala perkembangan ialah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat daripada daripada perubahan murid. Perubahan ini adalah dari segi jasmani, emosi, mental dan sosial.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Tulid Keningau. Pertama, pengaruh baka didapati memainkan peranan penting sebagai penentu ciri-ciri murid. Contohnya, di sekolah ini terdapat suku kaum yang mendominasi iaitu bangsa dusun diikuti murut. Murid yang berbangsa dusun ini berkulit putih manakala murut berkulit gelap. Kedua, perbezaan fizikal. Kebanyakan murid di sekolah ini mempunyai ketinggian yang rendah. Ketiga, perbezaan mental (kognitif). Sebagai contoh di sekolah ini terdapat jurang perbezaan peratus markah yang agak jauh antara murid yang meraih kedudukan tempat pertama dalam peperiksaan dengan murid yang berada di kedudukan akhir. Keempat, perbezaan emosi. Murid yang berada di kelas Inovatif merupakan murid yang mempunyai tingkahlaku bermasalah akibat diabaikan oleh ibubapa sejak kecil. Kelima, faktor keluarga. Contohnya, murid yang ibubapanya merupakan guru sekolah akan mendominasi daya intelektual berbanding murid yang ibubapanya adalah golongan peneroka kelapa sawit dan pekebun. Ketujuh, faktor guru dan sekolah. Tingkahlaku guru memberi kesan kepada murid. Terdapat guru yang suka meninggikan suara di hadapan murid tanpa sebab dan hal ini menjadi ikutan dan ejekan murid bila berada di luar kelas. Kelapan, kebudayaaan dan kepercayaan masyarakat. Kebanyakkan murid di sekolah ini merupakan murid beragama kristian dan murid muslim hanya segelintir sahaja.

Faktor-faktor tersebut memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Implikasi pertama ialah perbezaan gaya berfikir. Terdapat murid yang cergas dan cepat menyiapkan tugasan dan sebaliknya. Implikasi kedua ialah objektif pembelajaran berbeza bagi setiap kelas. Objektif pembelajaran bagi kelas Bestari berbeza dengan kelas Inovatif akibat perbezaan kognitif. Implikasi ketiga ialah kadar kecergasan mengikut jantina. Murid perempuan di sekolah ini mendominasi kedudukan dalam peperiksaan setiap semester. Implikasi keempat ialah kebolehan fizikal. Murid di sekolah ini mempunyai fizikal yang cergas dan buktinya murid-murid ini mengungguli sukan di peringkat daerah dan seterusnya. Implikasi kelima ialah perbezaan sosial. Kebanyakkan murid di sekolah ini merupakan anak pekebun dan tahap intelek dan kognitif mereka kurang dan ini menyebabkan mereka kurang aktif dan kurang menyerlah dalam PdP. Implikasi keenam ialah perbezaan emosi. Murid yang datang dari keluarga yang baik biasanya akan berada di kelas baik seperti Bestari dan Dinamik manakala sebaliknya akan berada di kelas sederhana dan kelas belakang. Murid kelas belakang ini berlatarbelakangkan keluarga yang retak, diabaikan oleh ibubapa mahupun kurang pegangan agama.

Kesimpulannya, setiap murid mempunyai ciri-ciri yang berbeza meskipun datang dari keluarga yang sama. Perbezaan murid ini seterusnya memberi kesan kepada perjalanan dan kelancaran PdP dalam bilik darjah. Justeru, guru perlu memahami dan mengenalpasti murid sebelum memulakan PdP.

(512 patah perkataan)


30 November 2018

Peranan Guru Dalam Memahami Perkembangan Murid


Pendahuluan
Sistem pendidikan di Malaysia melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan berusaha melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Lantas menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Negara, satu transformasi kurikulum dijana bagi memberi ruang kepada perkembangan diri murid secara fizikal, estetika dan kognitif. Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah dilihat mampu membantu dalam memahami perkembangan murid dalam menguasai sesuatu bidang ilmu. Perubahan kurikulum kebangsaan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah pula dilihat mampu memberi banyak ruang dan peluang kepada perkembangan murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Justeru menjadi tanggungjawab semua guru dalam dunia pendidikan untuk mengetahui peringkat perkembangan murid berdasarkan beberapa teori perkembangan seperti Teori Piaget, Teori Kohlberg dan Teori Erikson. Topik perkembangan murid ini penting untuk dikupas kerana ianya mampu memberi kefahaman kepada guru tentang pertumbuhan dan perkembangan murid serta proses pembelajaran mereka supaya guru menjadi lebih prihatin kepada murid yang sedang melalui proses pertumbuhan dan perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sosial. Selain itu, perbincangan ini juga mampu membantu guru untuk memahami diri, memperbaiki dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang sepatutnya.

Teori Perkembangan
Peringkat perkembangan kanak-kanak hingga remaja boleh ditinjau menerusi beberapa teori perkembangan. Pertamanya, Teori Perkembangan Kognitif Piaget. Menurut Piaget, proses pemikiran manusia berubah secara menyeluruh bermula selepas lahir sehingga manusia mencapai tahap kematangan. Empat konsep utama teori Piaget ialah skema, asimilasi, akomodasi dan keseimbangan. Skema merupakan pengetahuan atau pengalaman yang dipelajari oleh individu melalui pengalaman dan pembelajaran. Seterusnya, seseorang akan mengalami proses asimilasi dan akomodasi. Asimilasi merupakan proses di mana individu akan cuba memahami pengalaman baru dan cuba menyesuaikannya dengan skema lama. Akomodasi pula proses di mana individu menukar skema lama untuk disesuaikan dengan pengalaman baru. Proses keseimbangan ini berlaku secara berterusan di dalam kehidupan seseorang kerana perkembangan kognitif akan sentiasa berlaku. Terdapat empat peringkat perkembangan merangkumi peringkat deria motor (0-2 tahun), peringkat praoperasi (2-7 tahun), peringkat operasi konkrit (7-12 tahun) dan peringkat operasi formal (selepas 12 tahun).

Kedua, Teori Perkembangan Moral Kohlberg. Teori ini membahagikan perkembangan moral kepada tiga tahap iaitu tahap pra-konvensional, tahap konvensional, dan tahap pos-konvensional. Seorang anak harus melalui enam peringkat dalam dirinya iaitu:

Tahap 1 : Moral Prakonvensional: Awal Kanak-kanak
Peringkat 1
Orientasi Kepatuhan dan Hukuman
Peringkat 2
Orientasi Ganjaran Peribadi
Tahap 2 : Moral Konvensional: Masa Kanak-kanak
Peringkat 1
Orientasi perlakuan baik
Peringkat 2
Akur kepada sistem sosial dan etika peraturan
Tahap 3 : Moral Pos-konvensional: Masa Remaja
Peringkat 1
Etika kontrak sosial dan hak individu
Peringkat 2
Etika prinsip sejagat

Ketiga, Teori Perkembangan Sosioemosi Erikson. Teori ini menekankan kepentingan hubungan sosial dengan individu di persekitaran seseorang. Menurut Erikson, personaliti individu dibentuk hasil daripada perkembangan ini.

Peringkat
Umur
Huraian
Asas kepercayaan lawan asas ketidakpercayaan
Dari lahir hingga 2 tahun
Bayi perlu mempunyai hubungan yang erat, mendapat kasih sayang dan kepercayaan.
Autonomi lawan keraguan
2 tahun hingga 6 tahun
Kejayaan menggunakan fizikal menimbulkan rasa percaya kepada keupayaan diri dan jika gagal mereka mula ragu terhadap keupayaan diri.
Inisiatif lawan rasa bersalah
6 tahun hingga 12 tahun
Cuba untuk berdikari, ada inisiatif untuk melakukan sesuatu sendiri, jika gagal boleh membawa rasa bersalah.
Industri lawan rasa rendah diri
12 tahun hingga 17 tahun
Menguasai kemahiran tertentu, kegagalan akan membawa rasa rendah diri dan tiada keupayaan.
Identiti lawan kekeliruan identiti
12 tahun hingga 18 tahun
Mencari identiti diri dalam kerja, kemahiran, jantina dan sosial.

Perbezaan Individu dan implikasinya terhadap PdP
Setiap peringkat perkembangan akan membawa kepada individu yang berbeza. Perbezaan individu merujuk kepada keunikan dan ketidaksamaan yang wujud antara individu yang berlainan sama ada dari segi sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku sosial, bakat dan aspek lain. Antara perbezaan yang mungkin berlaku pada murid ialah perbezaan kognitif, perbezaan budaya, perbezaan fizikal, perbezaan emosi dan perbezaan rohani. 

Terdapat beberapa implikasi perbezaan individu ini terhadap pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pertama, gaya berfikir murid berbeza. Ini termasuklah gaya kognitif dan gaya murid belajar. Oleh itu, guru perlu mengkaji dan meneliti perlakuan setiap murid dalam kelas sebelum PdP bermula. Kedua, objektif pembelajaran mengikut kemampuan murid. Objektif pembelajaran perlu mengikut aras iaitu aras pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis dan sintesis. Aras kesukaran pada objek atau penilaian perlu berubah mengikut prestasi murid. Ketiga, kesediaan untuk belajar. Setiap murid di dalam kelas berada dalam keadaan yang berbeza sebelum PdP bermula. Justeru, guru perlu bijak memilih kaedah dan teknik pengajaran dengan mempertimbangkan kesediaan emosi, kognitif dan psikomotor murid. Keempat, gangguan pada sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid yang bermasalah akan mengganggu pembelajaran seperti mengganggu rakan dan membuat bising. Maka, guru harus menyediakan aktiviti sampingan kepada mereka. Kelima, keadaan hidup dan latar belakang sesebuah keluarga memberi kesan kepada kemajuan murid. Hal ini kerana kemudahan dan pendedahan yang terhad. Ini termasuklah sikap keluarga dan pengaruh sosiobudaya masyarakat di luar bandar. Keenam, kebolehan fizikal yang berbeza untuk melaksanakan kegiatan yang melibatkan psikomotor. Ini terbukti melalui kecergasan dan kemahiran murid dalam kegiatan atau permainan yang disertai. Ketujuh ialah perbezaan sosial. Murid ekstrovert aktif dalam aktiviti pembelajaran dan rajin memberikan soalan. Ini akan membentuk konsep yang lebih jelas dan menunjukkan pencapaian yang lebih baik. Sebaliknya, murid introvert seperti pasif dalam aktiviti, gemar menyendiri, berasa malu dan takut untuk mengemukakan soalan. Hal ini menyebabkan murid tersebut ketinggalan dalam pelajaran.

Kesimpulan
Kejayaan guru dalam memahami peringkat perkembangan murid dan perbezaan individu akan melahirkan modal insan yang unik dan PdP menjadi efektif. Ini sekaligus meningkatkan komunikasi murid, memperkembangkan pemikiran dan penaakulan mereka serta memberi peluang untuk memahami alam sosial dan fizikal dengan baik. Tegasnya, teori perkembangan kognitif, penaakulan moral dan sosioemosi serta konsep perbezaan individu adalah mustahak kepada semua guru kerana ianya memberikan implikasi besar terhadap kejayaan PdP dan pendidikan murid.



RUJUKAN
Pelbagai rujukan dibuat. :)

02 July 2018

Sem II : PDPLI KDC

Salam..

Kursus yang bakal ditempuhi untuk semester kedua.

Kursus terakhir sebelum BIG.

Kursus terakhir duduk dalam bilik kuliah.

Mohon terus kuat dan tabah.

Kekal cemerlang !


Kelas PAI Tingkatan 4 2018

Assalamualaikum..

Kelas Pendidikan Islam Tingkatan 4 semester I tahun 2018

I Luv PAI :)





HIP 2018 Launching Ceremony


Salam..

Being part of the English Language Panel of SMK Tulid in 2018.
These were few pics taken during the HIP 2018 Launching Ceremony 
which organised by the ELP SMKT.

Pics with few supportive crews.






05 June 2018

Short visit to SMAIP

Assalamualaikum w.b.k

This simple entry is just to inform you that AK had a visit to SMAIP
after few months AK didn't do so.

Lawatan kali ini hanya untuk bersemuka dengan calon STAM 2018
Yes, I was there only to meet up with STAM candidates.

Unfortunately, ramai daripada mereka tiada di sekolah.
Mereka balik kampung. Hanya sempat jumpa;
Khairil Ekwan Madusin
Izzul Qamsan Ruslan
Mohd Ilham Baharudin
Abd Aziz Matnudin
Razi Kabul

By the way, mana yang ada, I've delivered what should I deliver to them.
Giving them advice.
Guys, please. 
Be humble. Do respect your teachers.
Meet them frequently. Do more exercises.
No pain no gain.

In Shaa Allah, will meet you guys before STAM 2018.
Till next !





22 April 2018

Lakukan Kebaikan

Hidup tak semudah yang kita bayangkan.
Ada waktu kita boleh sendiri, ada waktu kita perlu teman.
Hidup ini ibarat roda, kadang kita berada di atas dan kadang berada di bawah.
Pabila waktunya kita berada di atas, usah sombong dan angkuh, malah hulurkan tangan untuk memberi kebaikan.
Pabila waktunya kita di bawah, jangan putus asa, jangan dengki pada yang di atas, malah berdoalah pada Tuhan, mohon diberi petunjuk dan kekuatan.

Hidup ini ada masanya kita merasa senang, kemudian ada masanya merasa susah.
Hidup ini juga ada waktunya kita rasa begitu ringan, dan ada waktunya begitu berat.
Saat kita merasakan ringannya hidup ini, maka bersenanglah untuk melakukan kebaikan, usah lupa panjatkan kesyukuran. 
Saat kita merasa beratnya bahu memikul ujian hidup, berdoalah mohon diberikan jalan dan penyelesaian. 

Temanku sekalian,
lakukanlah kebaikan, hulurkan tanganmu pada yang memerlukan.
Kerana kebaikan yang kita lakukan itu ibarat kita menanam sebiji tamar.
Pada akhirnya, ia berbuah lebat dan menghadiahkan buah tamar yang banyak.

Ayuh teman, lakukan kebaikan.

Acid Khoudri
Tulid, Keningau
22 April 2018

17 February 2018

Masih Mengekalkan Kejuaraan

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Tuhan 
SMK Tulid Keningau merangkul Johan Keseluruhan
Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Keningau Tahun 2018

#Tahniah buat semua atlet.
#Tahniah buat semua jurulatih.
#Terima kasih buat semua penyumbang.

We Are The Best 
#To_Lead