Seorang penyair arab berkata :
“Ketinggian umat bergantung kepada ketinggian akhlak dan adab sopannya. Sebaliknya jika akhlak umat itu runtuh maka runtuhlah umat tersebut.”
Adab dan tutur kata mutakhir ini kurang diambil perhatian oleh masyarakat di sekeliling kita. Mungkin ramai di antara kita yang menyedarinya, namun tidak pernah mengambil inisiatif dan usaha untuk menegur serta memperbaikinya.
Dalam kehidupan seorang muslim, ia perlu memelihara adab sopan, akhlak dan nilai-nilai murni, sama ada ketika berada di rumah, di sekolah, atau di mana-mana sahaja. Ini adalah kerana adab seseorang itulah yang akan membezakan dirinya dengan haiwan.
Abdullah ibnu Abbas RA berkata ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam:
Pertama – Janganlah engkau berbicara mengenai sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu mengenai perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.
Kedua – Jangan berbicara mengenai sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara sesuatu yang penting baginya, tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal yang memalukan.
Ketiga – Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu, manakala orang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.
Keempat – Ceritakan kepada saudaramu yang tidak hadir mengenai apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.
Kelima – Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan.
Ingatlah, bahawa tutur kata yang dikeluarkan seseorang itu mampu mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal waras, bercakap benar, sopan-santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata kotor.
Islam membenarkan kita untuk melontarkan pendapat agar sesuatu perkara itu menjadi bertambah baik dan berkembang maju. Bukan untuk menjadikan sesuatu itu nampak kelemahan dan kekurangannya. Berilah pandangan yang membina dan kata-kata yang sopan adalah cara terbaik jika kita ingin mengeluarkan satu-satu pendapat atau idea.
Sekiranya kita ingin memberi pandangan kepada pihak kedua, tuturlah kata-kata yang sopan dan menjaga adab sebagai seorang muslim. Janganlah sampai ke tahap tutur kata yang tidak dikawal itu menimbulkan rasa marah, menghina, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor, mengutuk, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan pihak kedua. Ini sebenarnya boleh membawa kepada permusuhan, rasa marah dan pihak yang lain akan mungkin menimbulkan perbalahan yang besar.
Maka tidak hairanlah jika Imam Al- Ghazali berpesan:
Benda yang paling tajam di dunia adalah lidah.
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Ibrahim, ayat 24 yang bermaksud:
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik (mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya (menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk (mati) yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi."
No comments:
Post a Comment