01 December 2010

Mansuh Hukuman Mati Di Malaysia???


Kajian menyeluruh, penelitian rapi perlu sebelum pemansuhan dilaksanakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk memansuhkan hukuman mati terhadap kesalahan membunuh dan jenayah berat yang disabitkan di mahkamah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Bagaimanapun, katanya, cadangan pemansuhan hukuman mati itu akan diberi pertimbangan sewajarnya selepas kajian menyeluruh dan penelitian rapi dibuat dalam pelbagai aspek serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Pemansuhan hukuman mati akan memberikan impak besar kepada sistem perundangan negara dan pindaan sewajarnya perlu dibuat terhadap undang-undang jenayah tertentu jika hukuman mati dimansuhkan di negara ini,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar).

Liew berkata, sejak 2000 hingga kini, sebanyak 1,601 kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan selepas melalui proses rayuan di Mahkamah Rayuan, sebanyak 47 kes disabitkan kesalahan mengikut seksyen sama yang direkodkan sabitan di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, hanya sembilan hukuman gantung dijalankan bagi kes yang disabitkan mengikut seksyen berkenaan dan bakinya masih menanti keputusan Petisyen Jemaah Pengampunan Negeri.

Menjawab soalan tambahan Mohd Radzi, beliau berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk menukar cara hukuman mati dijalankan berikutan hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan kini diperuntukkan mengikut Seksyen 281, Kanun Acara Jenayah sejak zaman British.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menggunakan kaedah yang lebih sesuai dan berperikemanusian mengikut peredaran zaman dan teknologi terkini seperti suntikan maut yang dicadangkan oleh Mohd Radzi.

Menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai kewibawaan hakim dalam menjatuhkan hukuman ke atas kes yang dibicarakan di mahkamah, Liew berkata hakim melaksanakan tanggungjawab dan menjalankan hukuman berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan ketika perbicaraan dan ia tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.


sumber:

No comments:

Post a Comment